Tamu Kota Belud unik, meriah dan warna-warni

 Tamu Kota Belud unik, meriah dan warna-warni

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

KOTA BELUD,  23 Mac – Tamu Kota Belud popular sebagai tempat penyatuan masyarakat berbilang kaum khususnya yang terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan sejak 143 tahun lalu, dan kini masih kekal beroperasi sekali gus menjadi simbol serta identiti keharmonian kaum di negara ini.

Tamu berkenaan diasaskan oleh Residen British pertama di Tempasuk (kini Kota Belud), William Pretyman pada 13 Disember 1878 dengan tapak asal di Kampung Siasai, kira-kira 2 kilometer dari sini, kekal hingga kini.

Suasana Tamu Kota Belud yang dibuka Ahad lalu selepas ditutup sementara pada 4 Oktober 2020 lalu

Tamu yang beroperasi seawal jam 6 pagi setiap Ahad, asalnya pusat pertemuan dan peniagaan masyarakat pelbagai kaum merangkumi Bajau, Kadazandusun, Iranun dan Cina.

Peringkat awal operasinya sehingga lewat 1990-an masih ada perniagaan pertukaran barang di tamu atau pasar tradisi, misalnya sayur-sayuran dan buah-buahan dijual peniaga kaum Kadazandusun ditukar dengan kuih tradisi masyarakat Bajau seperti ‘penjaram’ dan ‘penganan’, manakala etnik Iranun dengan hasil perikanan laut seperti ikan, udang, ketam dan ikan masin digemari ramai dikenali ‘liking’.

Bahasa Bajau loghat Sama adalah lingua-franca di tamu berkenaan suatu masa dulu.

Ternakan hidup seperti kerbau, lembu, kambing, ayam kampung dan itik turut diniagakan di tamu mingguan itu suatu masa dulu. Ketika ini, hanya ayam kampung dan itik yang masih diniagakan.

Tamu berkenaan ditutup sementara bermula 4 Oktober 2020, sebelum dibuka semula Ahad lalu berikutan pandemik COVID-19. Dengan keluasan kira-kira 1 hektar persegi, tamu itu menempatkan hampir 1,000 gerai dan menampung sehingga 5,000 pengunjung.

Pembukaan semula tamu berkenaan pastinya menggembirakan peniaga kecil-kecilan dan pengunjung yang merindui kemeriahan serta barangan jualan di situ.

Bagaimanapun, hari pertama beroperasi ramai pengunjung mengeluh kerana hanya penjualan bunga khususunya keladi yang banyak, manakala hasil pertanian dan kuih-muih masih sedikit..

Pelbagai jenis kraftangan tempatan diperbuat daripada rotan, mengkuang, kayu dan besi diniagakan di tamu itu. Antaranya, tudung saji atau dikenali sebagai ‘tudung duang’, tikar tradisi dikenali ‘tipo selisir’ dan tikar mengkuang hasil kreativiti etnik Bajau; selain alat muzik tradisi kaum Kadazandusun iaitu sumputon, bingkar gambar dan tangkai kunci.

Kuih penjaram antara yang dijual di Tamu Kota Belud

Bagi pengunjung luar, kraftangan unik  itu bukan saja boleh dijadikan kenangan, malah menjadi hadiah atau ole-ole kepada saudara mara dan sahabat handai.

Sesuatu yang yang menarik seperti juga di pusat kraftangan lain, mereka yang berkunjung ke tamu boleh membeli barangan yang dikehendaki pada harga murah bergantung kepada kecekapan ‘tawar menawar’ pada harga istimewa.

Selain kraftangan, makanan dan kuih tradisional, gerai menjual pelbagai jenis sayur kampung hingga sayur dari tanah tinggi dan makanan laut seperti ikan, sotong, udang dan ketam juga dijual di tamu itu. Selain itu, pelbagai jenis ikan masin termasuk ikan masin liking buatan etnik Iranun yang popular di Kota Belud dan `dalas pangi’ (tilapia yang diperam dengan buah kepayang).

Jika bernasib baik, pengunjung berpeluang menyaksikan pertunjukan ringkas kebudayaan etnik mendiami daerah Kota Belud seperti pertunjukan muzik tradisi ‘betitik’, selain  ‘runsai’. Begitu juga pameran pakaian tradisi atau pameran peralatan alat muzik tradisi seperti gong, kulintangan, bebandil dan gendang serta pakaian tradisi suku kaum Bajau, Iranun dan Kadazandusun.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2  +  8  =