Tambah ganjaran pahala sepanjang Rajab

 Tambah ganjaran pahala sepanjang Rajab

DUA hari  lagi (Sabtu, 13 Feb 2021), umat Islam akan bertemu Rajab iaitu bulan ketujuh dalam takwim Hijri. Bulan ini mengandungi pelbagai kelebihan dan rahmat untuk orang-orang yang beriman serta beramal soleh. Rajab, satu daripada Ashhurul Hurum, iaitu bulan-bulan di mana diharamkan bagi masyarakat Arab berperang pada zaman Baginda Rasulullah SAW.

Bulan-bulan haram ini disebutkan di dalam Surah at-Taubah, ayat 36:

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.”

Ayat Quran tersebut dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesungguhnya waktu telah berputar sebagaimana mestinya, hal itu ditetapkan pada hari Allah menciptakan langit dan bumi. Dalam setahun ada dua belas bulan. Antaranya ada empat bulan yang mulia. Tiga daripadanya berturut-turut, iaitu Zu al-Qa’dah, Zu al-Hijjah, Muharram dan Rajab yang biasa diagungkan oleh Bani Mudhar, iaitu antara Jumada alAkhirah dan Sya’ban.”

            (Hadith riwayat Bukhari)

Mengikut pendapat kalangan ulama, maksud empat bulan itu ialah Zu al-Qa’dah, Zu al-Hijjah, Muharram dan Rajab, ia juga dikenali sebagai bulan haram iaitu dilarang berperang. Ini disebabkan pada bulan Zu al-Qa’dah umat Islam dalam perjalanan untuk mengerjakan ibadah haji ke Makkah, bulan Zu al-Hijjah umat Islam melakukan ibadah haji. Bulan Muharram pula umat Islam kembali daripada menunaikan ibadah haji, sedangkan bulan Rajab ramai umat Islam melaksanakan ibadah umrah.

Secara amnya, bulan-bulan haram ini antara lain bertujuan untuk melenturkan jiwa serta menyucikannya daripada sebarang marah, kebencian, dendam dan penyakit hati lain yang boleh menjejas kesihatan kerohanian mahupun kemurnian akhlak kita. Tujuan ini menjadi lebih penting memandangkan Rejab akan disusuli oleh Syaaban sebelum kita melangkah masuk Ramadan.

Rajab bererti ta’zim, iaitu kebesaran, keagungan dan kemuliaan. Ia juga dikenali sebagai bulan pengampunan. Justeru, umat Islam sewajarnya mengambil kesempatan untuk menambahkan lagi amalan masing-masing pada bulan yang mulia ini, selain memperbanyakan doa kepada Allah SWT supaya kita dipanjangkan umur dan dapat bertemu pula dengan bulan suci Ramadan.

Mulianya bulan Rajab ini kerana berlakunya peristiwa penting iaitu Isra’ dan Mikraj. Dan mulai detik itu, umat Islam mula diwajibkan melaksanakan kefarduan solat lima waktu sehari semalam. Firman Allah SWT dalam Surah Toha, ayat 14:

“Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku.”

Isra’ membawa pengertian perjalanan Rasulullah SAW pada malam hari dengan menaiki tunggangan yang didatangkan khas daripada syurga dan dinamakan Buraq. Ia bermula dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Manakala Mikraj pula membawa maksud naiknya Baginda ke langit dari Masjid al-Aqsa hingga ke Sidratul Muntaha di langit ketujuh untuk menerima perintah Allah SWT.

Antara ‘ibrah yang penting daripada peristiwa Isra’ dan Mikraj ialah bahawa kekuasaan Allah adalah meliputi segala yang ada di alam ini, sama ada yang nampak mahupun yang tidak nampak. Oleh itu, umat Islam hendaklah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, tunduk dan taat melaksanakan segala yang diperintahkan serta menjauhi segala perkara yang dilarang-Nya.

Ketika Rasulullah SAW berasa hiba dan dukacita kerana kehilangan pendokong kuatnya dalam melaksanakan usaha dakwah, maka Allah menjemput Baginda untuk melalui suatu pengembaraan agung yang tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia. Demikian Allah SWT mengubat rasa dukacita Rasul-Nya dan meneguhkan pendirian Baginda untuk terus berdakwah kepada umat manusia.

Umat Islam juga sunat melakukan amalan-amalan yang baik pada bulan Rajab. Antaranya, amalan berpuasa sebagai persediaan menjelang tibanya Ramadan nanti. Hal ini dapat dilakukan dengan memperbanyakkan puasa sunat seperti puasa Isnin dan Khamis serta mengganti (qadha) puasa yang tertinggal bagi wanita. Perlu juga dijelaskan bahawa tiada amalan tertentu yang dikhususkan dalam bulan Rajab. Namun, masih banyak lagi amalan sunat secara umum yang boleh kita tunaikan pada Rajab ini bagi menambahkan ganjaran pahala seperti qiamullail, bersedekah, berdoa, berselawat, tadarus al-Quran dan sebagainya.

Mudah-mudahan dengan memperbaiki hubungan kita dengan manusia juga Allah akan memperindahkan hubungan kita denganNya. Semoga dengan usaha kita menyediakan jiwa dan rohani pada Rejab ini, Allah akan memberkati kita padanya dan bulan Syaaban serta menemukan kita dengan Ramadan.

Rencana ini disediakan oleh Unit Falaq, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

80  +    =  87