Tambah baik DidikTV untuk kekal relavan

 Tambah baik DidikTV untuk kekal relavan

KUALA LUMPUR, 9 Mac — Setelah hampir sebulan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan saluran TV Pendidikan KPM, pelbagai reaksi diterima mengenai inisiatif KPM itu bagi meningkatkan ekses pendidikan di seluruh negara.

Malangnya, ketika baharu hendak “bernafas” sudah ada kecaman dilemparkan kepada guru yang mengajar di dalam program itu hingga ada yang mempersoalkan kredibiliti KPM dalam menjaga kualiti kandungan program tersebut.

Bukan itu sahaja, ada yang mempersoalkan pendekatan DidikTV yang berkonsepkan didik libur atau edutainment itu yang seakan menyimpang daripada tujuan asal perlaksanaan TV Pendidikan.

Perkara ini menarik perhatian ramai kerana TV Pendidikan yang mula bersiaran pada 1972 di negara ini telah ditamatkan sebelum ini, disebabkan isu kualiti kandungan programnya yang dikatakan kurang menarik dan membosankan.

Namun, apabila Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin baru-baru ini memberi jaminan DidikTV akan diteruskan walaupun sekolah secara bersemuka dibuka sepenuhnya April nanti, sudah tentu aspek kualiti dan pengisian kandungan yang perlu diutamakan bagi memastikan TV Pendidikan kekal relevan dan tidak terkubur seperti sebelum ini.

Selain itu, ada juga berpendapat bahawa kandungan DidikTV juga harus selari dengan peredaran teknologi terkini dan perlu dipantau oleh sebuah jawatankuasa pemantau dari luar dan dalam KPM  untuk menilai dan memberikan pandangan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Pengerusi Pusat Kepimpinan dan Polisi Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor berkata memandangkan kandungan DidikTV dikawal oleh KPM dan penyampaian dibuat oleh guru pakar, maka tidak sepatutnya wujud isu kualiti pada kandungan program DidikTV.

“Saya telah menonton beberapa siaran dalam DidikTV dan saya dapati ada yang sangat bagus, ada yang pada tahap biasa dan ada yang kurang menarik. Bagi saya itu normal, memandangkan DidikTV masih baharu dan pastinya berhadapan banyak kelemahan, kesilapan, cabaran dan dugaan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Katanya, pastinya ramai ibu bapa ingin mengetahui matlamat KPM dalam menjayakan DidikTV terutama untuk jangka antara lima hingga ke 10 tahun akan datang.

DidikTV dilancarkan pada 17 Feb  lepas oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi memenuhi keperluan kelompok pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar serta pedalaman yang berhadapan dengan ekses internet serta ketiadaan peranti.

Usaha ini bagi memastikan golongan ini tidak tercicir dalam pelajaran terutama apabila KPM menjayakan pembelajaran dalam talian dan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0.

Azlin berkata sekiranya DidikTV diuruskan dengan betul, ia akan menjadi medium yang boleh mengecilkan jurang pencapaian dalam kalangan murid kerana ia boleh menjadi alternatif kepada murid yang tidak dapat hadir ke sekolah disebabkan sakit, tidak mempunyai ekses atau tinggal di kawasan pedalaman, tidak mampu ke sekolah disebabkan miskin atau murid yang tercicir, mengulang yang membolehkan mereka belajar di rumah dan mengambil peperiksaan persendirian.

“Banyak manfaat DidikTV jika dilaksanakan secara serius kerana ini boleh melengkapkan peranan ibu bapa dalam membantu anak-anak  memahami apa yang  dipelajari selain membantu guru dalam menggalakkan murid menguruskan pembelajaran  sendiri dengan memilih siri mana untuk ditonton dan mengulangi siri yang mereka tidak faham,” katanya.

Senada dengan pandangan itu, Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Ahmad Fauzi Mohd Ayub yang berharap agar pengisian DidikTV ditambah baik dari semasa ke semasa supaya dapat memberi impak yang lebih besar dalam memantapkan proses pendidikan.

Katanya, perlu ada kesepaduan antara pelajar, guru dengan isi kandungan, teknologi selain penulisan skrip yang baik supaya proses pengajaran dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“Amat penting untuk memilih guru atau personaliti yang dapat menyampaikan ilmu mereka dengan berkesan kerana ia bukan sahaja akan memudahkan pelajar memahami mata pelajaran tersebut tetapi juga akan menjadikan program DidikTV sebagai bahan sokongan pembelajaran murid  pada masa hadapan,” katanya.

Justeru, beliau berpendapat kaedah penyampaian ilmu yang menarik akan dapat memudahkan pelajar tertarik dengan ilmu yang disampaikan sekali gus akan terus menarik minat mereka menonton dan menjadikan Didik TV sebagai pelengkap pembelajaran mereka.

Bagi Ahli akademik Dr. Wan Zah Wan Ali, beliau berpendapat bahawa DidikTV bukan sekadar mendidik tetapi matlamatnya haruslah juga menghiburkan malah menepati kehendak penonton, sekiranya mahu kekal relevan seiring dengan keperluan semasa pelajar, sama ada di bandar mahupun pedalaman.

“Saya teringat TV Pendidikan sekitar tahun 80an. Ketika itu program tersebut berusaha sebaik mungkin supaya guru-guru menggunakannya dalam pengajaran.  Apabila disediakan jadual, guru pula kata siaran tidak menepati masa dan disediakan pula perakam video tetapi masalah lain timbul, akhirnya siaran TV Pendidikan ketika itu tidak memuaskan,’’ katanya.

TV Pendidikan mula bersiaran di negara ini  pada 19 Jun 1972 sehingga 31 Dis 2008, dan kemudian digantikan dengan EduWebTV pada 1 Jan 2009.

Menteri Pendidikan sebelum ini,  Maszlee Malik mengumumkan pelancaran semula TV Pendidikan  selepas sekian lama tidak bersiaran dan disiarkan 6 April 2020 di saluran OKEY, salah satu saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sebelum kemunculan DidikTV KPM, TV Pendidikan membuat kemunculan semula di NTV7 pada 23 Nov 2020 dan menyiarkan slot program yang dikenali sebagai DidikTV@ntv7 sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

9  +  1  =