Taman tema air terima notis larangan selepas juruteknik maut

 Taman tema air terima notis larangan selepas juruteknik maut

Gambar hiasan

IPOH, 14 Dis — Akibat gagal menyediakan sistem kerja selamat sehingga menyebabkan kematian pekerja mereka Ahad lalu, satu notis larangan telah dikeluarkan terhadap sebuah taman tema air di sini.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, mangsa seorang juruteknik warga tempatan berusia 25 tahun berkenaan ditemui terjatuh ke dalam kolam air dalam keadaan lemah dan tidak bermaya oleh rakan sekerjanya.

Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Supian Alias, tindakan itu diambil selepas mendapati, berlaku kecuaian ketika kerja menyelenggara lampu limpah berhampiran satu kawasan kolam mandi di taman tema air berkenaan.

“Susulan dari siasatan awal yang dijalankan, JKKP telah mengeluarkan arahan larangan kacau ganggu sehingga tindakan penambahbaikan diambil oleh pihak majikan, memetik laporan Sinar Harian hari ini.

“Satu notis larangan juga telah dikeluarkan kepada majikan kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi aktiviti kerja penyelenggaraan peralatan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, JKKP Perak telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan tersebut.

Katanya, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Mangsa yang bekerja selama empat tahun sebagai seorang juruteknik di taman teman air tersebut disahkan meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 1.48 petang pada hari yang sama,” katanya.


Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  1  =  3