• Thursday, 17 June 2021, 12:43 pm

Takut jarum tapi masih mahu mendapatkan vaksin

 Takut jarum tapi masih mahu mendapatkan vaksin

KUALA LUMPUR, 25 Mei – Jika menonton beberapa video gelagat beberapa orang yang ketakutan ketika mendapatkan suntikan vaksin, kita pasti akan turut ketawa.

Wacana.my menyelami perasaan penerima vaksin yang turut melalui detik cemas itu namun masih tetap bersemangat meneruskan niat mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin walaupun takut.

Nurmafadila Azami, 31, berkata temujanji beliau bagi mendapatkan vaksin adalah pada 20 Mei lalu.

“Ramai yang pesan saya gunakan pengangkutan awam jika mendapatkan vaksin bersendirian kerana tangan akan merasa lenguh dan pening sedikit selepas suntikan, jadi saya memilih menggunakan pengangkutan awam,” katanya memula bicara.

Nurmafadila berkata pada peringkat awal beliau tidak memikirkan sangat tentang ketakutan terhadap jarum kerana proses berjalan lancar dan masa menunggu tidak lama.

Namun beliau mula gusar ketika menunggu giliran mendapatkan suntikan setelah sesi temubual bersama pegawai kesihatan.

“Waktu sedang menunggu dipanggil untuk disuntik vaksin saya dah mula menggigil kerana ketakutan,” katanya yang memang dikenali sebagai seorang yang penakut jarum.

“Mulut dah berzikir nak hilang rasa takut dan waktu nama saya dipanggil mata saya terus mencari jalan keluar untuk melarikan diri,” katanya.

Melihat gelagatnya yang semakin gelisah, Nurmafadila berkata petugas menegurnya dengan mesra untuk mengurangkan rasa takut.

“Doktor di kaunter tu pun memanggil saya mesra dan berkata beliau tidak makan orang, jangan takut,” katanya.

Nurmafadila berkata ketika bersoal jawab dengan pegawai perubatan itu dan memberitahu dia mengubah fikiran kerana ketakutan, doktor sekali lagi menghiburkannya dengan memesan agar tidak menangis.

“Doktor tu cakap dengan saya supaya jangan buat hal jika saya menangis, sayalah orang pertama menangis mendapatkan suntikan darinya yang telah menyuntik ribuan orang lain,” katanya sambil tertawa mengenangkan sikap keanak-anakkannya.

Nurmafadila berkata dalam keadaan berseloroh dan dia berasa tenang dengan lawak oleh doktor tadi, lengannya disuntik dan beliau tidak berasa sakit.

“Tak sempat saya nak menangis pun dah selesai, saya dengan bangga pulang dengan senyuman sepanjang jalan dan kini menceritakan pengalaman saya kepada orang lain agar mereka juga mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Nurmafadila bukanlah berseorangan dalam ketakutan Jarum. Penulis sendiri turut mengalami masalah yang sama.

Namun kepakaran dan kemesraan petugas di pusat vaksinasi amat membantu dalam mengatasi perasaan takut.

Suntikan dilakukan dengan pantas dan kami tidak mempunyai peluang untuk memikirkan tentang ketakutan yang dialami.

Kami di Wacana.my ingin mengajak orang ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi melindungi orang yang tersayang.

Vaksin COVID-19 adalah satu cara untuk kita menunjukkan semangat patriotik cintakan bangsa dan negara serta menunjukkan kepada petugas barisan hadapan bahawa kita mahu membantu mereka dengan cara kita.

Sama-sama kita patuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan duduk dirumah jika tiada urusan penting diluar.

Daftarkan diri dan orang tersayang untuk mendapatkan Vaksin di portal vaksincovid.gov.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *