• Sunday, 20 June 2021, 3:05 pm

Taktik seludup rokok di bawah timbunan ikan ‘kantoi’

 Taktik seludup rokok di bawah timbunan ikan ‘kantoi’

Rokok seludup yang berbungkus ditemui disorokkan di bawah timbunan ikan bagi mengaburi pihak berkuasa di KSAB, Gelang Patah, Johor

JOHOR BAHRU, 11 Jun – Cubaan sindiket untuk menyeludup rokok tidak bercukai ke negara jiran tidak berhasil apabila kesemua 320,000 batang rokok putih itu yang dianggarkan bernilai RM295,680 termasuk cukai dirampas anggota penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, baru-baru ini.

Pengarah Kastam Johor, Sazali Mohamad berkata, kegiatan sindiket itu terbongkar apabila pemeriksaan yang dibuat pada pukul 6.20 petang, Sabtu lalu menjumpai ratusan kotak rokok disembunyikan di bawah timbunan ikan-ikan segar di dalam 19 tong untuk dieksport ke negara jiran.

Rokok tidak bercukai itu ditemukan ketika pemeriksaan dijalankan bersama-sama pegawai penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) KSAB ke atas sebuah lori di hadapan pejabat Maqis cawangan eksport.

“Jumlah rokok putih yang dirampas di dalam 19 tong ikan itu adalah sebanyak 320,000 batang dengan nilai rampasan dianggarkan RM76,800 dengan duti dan cukai yang terlibat sebanyak RM218,880.

“Susulan penemuan rokok seludup itu, seorang pemandu lori warga tempatan yang berusia 31 tahun telah ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Ratusan kotak rokok disembunyikan di bawah timbunan ikan-ikan segar di dalam 19 tong untuk dieksport ke negara jiran.

Sazali berkata, modus operandi sindiket penyeludupan ini adalah dengan menyorokkan rokok seludup di bawah timbunan ikan segar di dalam tong ketika menghantar bekalan ikan segar tersebut ke negara jiran bukanlah perkara baharu.

“Suspek dipercayai berselindung di sebalik aktiviti pengeksportan ikan-ikan segar bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Pada bulan lalu, pasukan Bahagian Penguatkuasaan Gelang Patah berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan rokok yang menggunakan modus operandi sama,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) dan dibaca bersama Seksyen 139 Akta Kastam 1967 atas kesalahan cubaan mengeksport barang-barang tidak berkastam.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut
mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Orang awam diseru menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat. Identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

 

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *