Tak campur urusan kerajaan, tindakan Tun M beri kelebihan pada PN

 Tak campur urusan kerajaan, tindakan Tun M beri kelebihan pada PN

PETALING JAYA, 1 Jul — Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat tidak banyak mencampuri urusan PN dan itu sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada kerajaan, kata Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Gelang Patah, Fakhrul Anwar Ramli.

Menurutnya, setiap pihak memerhatikan pergerakan Tun M. Dalam masa sama, Tun M tidak banyak mencampuri urusan kerajaan PN. Bahkan dalam masa sama, banyak tindakan beliau yang sedikit sebanyak memberi satu kelebihan pada PN.

“Namun, sejauh mana kerajaan ini mampu mobilisasi memperkukuhkan solidariti yang kita ada itu menjadi persoalan yang perlu kita fikirkan sama-sama.

“Yang menjadi asasnya adalah kerajaan sekarang jelas mendukung dan merealisasikan kesatuan Melayu. Itu tidak dapat dinafikan oleh pucuk pimpinan dan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel program Kerusi Panas bertajuk ‘Kesatuan Melayu, Retak Menanti Belah?’ yang disiarkan di saluran YouTube dan Facebook Wacana.my, dikendalikan oleh Zuan Azmi, malam tadi.

Menurut beliau lagi, Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh Hamzah dilihat tidak menjadi beban dalam konteks kesatuan politik Melayu.

Malah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) melalui kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha merelisasikan ke arah itu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tidak dapat dinafikan sebahagian besar sokongan orang Melayu beralih kepada Pakatan Harapan di atas faktor Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri selama lebih 20 tahun.

Fakhrul melihat, sentuhan itu tidak ada kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama lebih 20 tahun walaupun masih gagal mendapatkan jumlah minimum membentuk kerajaan dalam beberapa siri PRU.

“Sentuhan itu tidak ada pada Anwar yang telah memimpin PKR selama lebih 20 tahun dalam beberapa PRU masih gagal mendapatkan jumlah minimum untuk menjadi kerajaan. Tetapi bila Tun M masuk bersama BERSATU, sokongan orang Melayu telah beralih arah.

“Ini menunjukkan orang Melayu adalah kaum yang pragmatik, iaitu boleh berubah mengikut situasi semasa, boleh berfikir secara rasional dan tidak taksub dengan kepartian,” katanya.

Menyentuh mengenai pergolakan dalaman beberapa pemimpin utama UMNO, Fakhrul berpandangan Tengku Razaleigh hanya mampu menjadi faktor pengimbang berbanding faktor penyatuan.

“Saya percaya Ku Li mempunyai peranan yang signifikan dalam kepimpinan UMNO. Cuma sejauh mana Ku Li dapat mempengaruhi atau memainkan peranan, itu persoalan lain memandangkan dalam UMNO pun terdapat perpecahan kepimpinan. Di mana letaknya Ku Li?

“Bukan masa sesuai untuk Ku Li menjadi faktor penyatu kepimpinan di peringkat UMNO yang bergolak ketika ini.

“Tapi bila dalam keadaan yang tidak menentu, beliau boleh jadi faktor pengimbang tetapi bukan satu faktor penyelesaian muktamad,” jelasnya.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

48  +    =  57