Tahun Baru Cina: 16 barangan masuk dalam SHMPP

 Tahun Baru Cina: 16 barangan masuk dalam SHMPP

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 5 Feb: Sempena sambutan Tahun Baru Cina hujung minggu depan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Perdagangan (KPDNHEP) menyenaraikan 16 harga barangan kawalan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMPP).

Menterinya, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata, harga kawalan itu terdiri daripada ayam, telur, sayuran, makanan laut dan daging babi.

“Skim itu akan berkuat kuasa pada 8 hingga 16 Februari ini dan ia bertujuan untuk mengekang peningkatan harga barangan sempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut pada 12 Feb.

“Selain itu, skim ini secara tidak langsung mencegah kenaikan harga yang tidak masuk akal semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi laman Facebook KPDNHEP, hari ini.

Antara barang yang tersenarai dalam SHMPP ini adalah ayam hidup, ayam biasa, ayam super, telur Gred A, B dan C, kubis bulat import, kentang Cina, bawang Cina, ikan bawal, udang putih besar, babi hidup, perut babi serta daging dan lemak babi.

Nanta berkata, harga kawalan yang dibuat adalah bersesuaian dengan pasaran semasa dan mengambil kira perubahan harga, terutamanya barang import yang dipengaruhi oleh harga negara asal.

Selain itu, kadar pertukaran wang dan kenaikan kos utiliti petani turut mempengaruhi kawalan harga tersebut.

“Walaupun Tahun Baru Cina kali ini akan disambut dengan SOP yang ditetapkan kerajaan, ada permintaan untuk kawalan harga pada barang yang dijangka akan naik berbanding hari biasa,” katanya.

Beliau turut berkata, KPDNHEP akan menggiatkan pemeriksaan pada bila-bila masa di premis borong dan runcit .

“Tindakan ini adalah usaha untuk melindung pengguna daripada peniaga yang mengambil kesempatan pada musim perayaan,” katanya.

Tambahnya, KPDNHEP telah menyediakan pelbagai saluran untuk orang ramai membuat aduan mengenai isu harga, termasuk mewujudkan skuad bagi menangani masalah yang dihadapi.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *