Tagal pulihara sungai, jana pendapatan komuniti

 Tagal pulihara sungai, jana pendapatan komuniti

Pelbagai spesies ikan di kawasan tagal Kampung Kilimu, Ranau.

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

RANAU, 21 April – Tagal adalah sistem pengurusan sumber asli secara tradisional yang mampan atau lestari terutama bagi hidupan akuatik kerana ikan dalam sungai yang `ditagal’ (diwartakan kawasan tagal) di Sabah tidak boleh ditangkap kecuali dengan persetujuan komuniti setempat.

Pesalah yang menangkap ikan sebelum tiba masa ditetapkan boleh dikenakan `sogit’ atau denda bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua, pesalah akan dirujuk ke Mahkamah Anak Negeri yang membicarakan kes perlanggaran adat.

Sogit yang dikenakan kepada individu atau kumpulan yang melanggar undang-undang adalah seekor kerbau atau lembu mencapai tahap matang berharga RM1,500 dan ke atas serta bayaran denda wang tunai RM500 tunai.

Papan tanda larangan juga diletakkan di tebing sungai yang `ditagal’. Pada peringkat jawatankuasa kampung, penguatkuasaan undang-undang tagal sentiasa diberikan penekanan dan tidak hairan kawasan tagal sentiasa bebas daripada pencerobohan dan pencemaran.

Jabatan Perikanan Sabah yang menyelaras sistem tagal pula menguatkuasa undang-undang mengikut Enakmen Perikanan Darat dan Akuakultur 2003 iaitu mereka yang didapati bersalah merosakkan kawasan tagal boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pengerusi Tagal Kampung Tengkurus Abadi dekat Kota Belud, Antoni Satu

Pengerusi Tagal Kampung Tengkurus Abadi dekat Kota Belud, Antoni Satu, berkata sistem tagal menjadikan kawasan sungai kekal keasliannya dan dihadkan untuk pemuliharaan ekosistem dan memastikan kewujudan sumber tersebut berterusan untuk generasi akan datang.

Menurutnya, sistem tagal diurus dan dipantau Jabatan Perikanan Sabah bertujuan mengatasi masalah kekurangan sumber ikan air tawar dan mengelakkan pencemaran sungai selain menjana pendapatan masyarakat.

Beliau berkata, sistem ini juga memberi manfaat kepada industri ekopelancongan di Sabah kerana ramai pelancong antarabangsa dan domestik berkunjung ke kawasan tagal untuk melihat pelbagai spesies ikan seperti kelah, lampam jawa dan tilapia yang jinak dan boleh didekati.

“Tagal adalah bahasa Kadazandusun yang bermaksud memulihara sungai dan alam sekitar. Sistem ini adalah amalan tradisi masyarakat Kadazandusun dan wujud sejak zaman nenek moyang kami lagi, ” katanya kepada Wacana.my

Usaha membangunkan sistem ini secara formal bermula sejak lewat 1990-an dan pernah diamalkan di Tuaran pada 1987 dan diikuti di Kota Belud pada 1991, sebelum berkembang ke daerah lain seperti Ranau, Kota Marudu dan Papar.

Jabatan Perikanan Negeri Sabah memperluaskan sistem tagal secara formal di seluruh Sabah sejak 2003 menerusi Enakmen Perikanan Darat dan Akuakultur 2003.

Mengikut mitos pula, sistem ini wujud sejak beberapa abad lalu, di mana hubungan manusia dan ikan di sungai adalah sangat rapat, sehingga ikan tidak takut kepada manusia kerana manusia tidak melakukan perkara yang memberikan kesan negatif kepada hidupan di persekitarannya, termasuk ikan di sungai dan tumbuhan di tebing sungai.

Pengunjung yang melihat pelaksanaan sistem tagal selain boleh menginap di homestay yang terletak di tebing sungai

Pakar pengurusan tagal, Sudin Harun berkata sebab itulah ikan di kawasan tagal sangat jinak sehingga boleh dihampiri, sekali gus dapat mempromosikan aktiviti ekopelancongan bagi sungai yang berada di bawah program tagal.

Katanya, Kampung Luanti Baru, Ranau berjaya mengaplikasikan sistem tagal yang bukan sahaja telah
berjaya mengekalkan habitat semula jadi malah menjadikan sistem tagal sebagai satu tarikan pelancong sejak ia dibuka untuk kunjungan pada 2006.

Beliau berkata, ramai pelancong asing seperti dari Korea Selatan dan Jepun kagum kerana kerajaan tidak perlu membelanjakan peruntukan besar untuk pemuliharaan sungai dan ikan kerana masyarakat bersatu menjaganya.

“Ini berbeza di negara mereka kerana kos pemuliharaan sungai sangat tinggi. Tidak hairan keunikan projek tagal terutama di Kampung Luanti Baru berjaya menarik ribuan pelancong dari dalam dan luar setiap tahun,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

23  −    =  20