Syed Saddiq serah balik gaji Mac

 Syed Saddiq serah balik gaji Mac

Syed Saddiq membuat persiapan untuk berangkat ke Singapura bagi menyambung pengajiannya

Oleh Nurman Nasyriq
MUAR, 8 Mac — Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersedia menyerahkan gaji sebagai wakil rakyat bulan ini untuk kegunaan pihak Pejabat Parlimen Muar apabila mengambil keputusan menyambung pengajian di Singapura.
Beliau mengikuti Kursus Eksekutif dalam Polisi Awam di Universiti Nasional Singapura (NUS) sejak September tahun lalu.
“Alhamdulillah, saya ke Singapura untuk menghabiskan pengajian saya di NUS dalam Polisi Awam Sekolah Lee Kuan Yew dengan biasiswa penuh.
“Sebelum ini kelas semua dibuat secara dalam talian, tetapi kali ini saya perlu masuk kelas secara fizikal di Singapura.
“Saya akan berada di sana selama sebulan, bukan pergi bercuti tetapi untuk belajar,” katanya dalam satu kenyataan di sini,  hari ini.
Justeru, Syed Saddiq nekad untuk memulangkan gaji sebagai wakil rakyat pada bulan Mac atas rasa tanggungjawab.
Beliau merasa tidak layak menerima bayaran ini semasa dalam tempoh pengajian penuh di negara republik itu.
“Saya juga dengan rendah diri akan kembalikan gaji saya pada bulan ini untuk kegunaan pejabat Parlimen Muar sepanjang saya di Singapura.
“Saya tak layak menerima bayaran ini semasa saya dalam tempoh pengajian penuh di sana. Terima kasih rakyat Malaysia. Terima kasih Muar. Doakan perjalanan pergi pulang saya selamat.
“Saya harap pengajian saya dalam bidang Polisi Awam ini dapat menjadikan saya sebagai Ahli Parlimen dan penggubal dasar yang lebih baik untuk Muar dan Malaysia,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  1  =