Syed Saddiq sahkan Muda bertanding PRN Johor

 Syed Saddiq sahkan Muda bertanding PRN Johor

JOHOR BAHRU, 29 Januari – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan parti itu akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Parlimen Muar itu mengesahkan perkara itu menerusi satu hantaran video dalam Facebook miliknya.

Jelasnya, keputusan itu menjadikan PRN Johor sebagai pilihan raya pertama Muda  terlibat secara rasmi dalam politik tanah air.

“Muda secara rasminya akan bertanding dalam PRN Johor 2022. Johor adalah permulaan bagi Muda. Muda adalah perubahan bagi Johor. 

“Jadi marilah kita bangunkan Johor yang bersatu dan sejahtera bersama-sama, mari bersama Muda,” katanya dalam video berkenaan yang dikongsikan dalam Facebook miliknya.

Muda dilaporkan berdaftar sebagai parti politik secara rasminya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada 23 Disember tahun lalu.

Sebelum ini, media turut melaporkan Syed Saddiq dijangka bertanding dalam PRN Johor dan sedia meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN.

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse dilaporkan memberitahu Pakatan Harapan (PH) Johor bakal bertemu dengan Muda esok untuk membincangkan kerjasama politik antara mereka.

Pada 22 Januari lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima mengadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat pada 9 Februari depan bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkenaan PRN Johor.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

68  −  58  =