Suspek pecah cermin, rosakkan bonet kereta wanita diberkas

 Suspek pecah cermin, rosakkan bonet kereta wanita diberkas

Oleh Nurman Nasyriq

MUAR, 16 Mac – Seorang penunggang motosikal memecahkan cermin kereta selepas tidak berpuas hati dengan seorang wanita yang memandu sebuah kereta di pekan Parit Jawa, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 3.25 petang, suspek bertindak memecahkan cermin sisi kereta sebelah kanan pemandu, cermin depan dan merosakkan bonet hadapan kereta menggunakan topi kaledarnya.

Suspek bertindak agresif selepas kereta itu dapat dipintasnya dan kejadian sempat dirakam mangsa, 26, sebelum tular dalam media sosial.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, polis kemudian dapat memberkas suspek tidak lama selepas itu.

“Kejadian berlaku berhampiran persimpangan lampu isyarat di Parit Jawa dan dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua pihak berkaitan cara pemanduan masing-masing. Ini menyebabkan suspek bertindak agresif.

“Hasil siasatan awal juga mendapati suspek dipercayai mengalami masalah mental dan masih menerima rawatan di hospital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sejak semalam video berdurasi satu minit 38 saat mengenai kejadian itu tular dalam media sosial menunjukkan lelaki berkenaan merosakkan cermin dan kenderaan mangsa.

Zaharudin berkata, kes buli tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik video atau gambar mahupun kenyataan sehingga tular yang boleh membuat salah faham dan kegusaran kepada masyarakat.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

38  +    =  45