Suspek menculik kanak-kanak, lakukan amang seksual, samun OKU

 Suspek menculik kanak-kanak, lakukan amang seksual, samun OKU

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki yang melarikan kanak-kanak dan melakukan amang seksual terhadapnya serta menyamun seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) dicekup polis di Kampung Kangkar Baru, Yong Peng semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek berusia 36 tahun ditahan pasukan khas Cawangan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Johor pada jam 4.45 petang.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang kelmarin, suspek telah melarikan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di hadapan rumah mangsa di kawasan Taman Teratai, Kangkar Pulai, dekat sini.

Suspek yang menaiki sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti membawa mangsa ke Stulang Laut kira-kira jam 5.30 petang dan di situ turut melakukan samun terhadap seorang lelaki OKU.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay

“Lelaki OKU berusia dalam lingkungan 20-an itu mengalami kerugian sebanyak RM500 dan turut diarahkan oleh suspek untuk merakam kejadian amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan di dalam kenderaan yang dipandunya.

“Lelaki OKU itu telah ditinggalkan di tepi Jalan Stulang Laut dalam keadaan selamat, manakala kanak-kanak perempuan itu yang dalam keadaan ketakutan dan trauma itu telah ditemui oleh orang ramai di hadapan sebuah kedai makan di Kangkar Pulai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan penahanan lelaki itu, polis turut merampas sebuah kereta Proton Waja berwarna kelabu dan sebuah telefon bimbit jenis Vivo.

Ayob Khan berkata, suspek direman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

“Polis Johor menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan menyalurkan maklumat jika berlaku kejadian jenayah. Maklumat boleh disalurkan di balai polis berhampiran atau bilik gerakan polis menerusi talian 07-2212999 atau 07-2254677,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

44  +    =  48