Suruhanjaya Kedaulatan Negara mampu tingkatkan kefahaman rakyat

 Suruhanjaya Kedaulatan Negara mampu tingkatkan kefahaman rakyat

KUALA LUMPUR, 19 Jun —  Sebuah Suruhanjaya Kedaulatan Negara patut ditubuhkan bagi memberi kefahaman jelas kepada rakyat mengenai prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Cadangan ini disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, di mana antara bidang tugas suruhanjaya itu termasuk menjelaskan kepada rakyat garis panduan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri kepada rakyat.

Tambah beliau, penubuhan suruhanjaya tersebut amat penting bagi memastikan prinsip-prinsip utama kepada Perlembagaan Persekutuan, termasuk bidang kuasa institusi diraja dan cabang legislatif, tidak dipersoal sehingga menimbulkan persepsi negatif.

Menurut Mohd Redzuan atau lebih dikenali Pak Wan berkata, rakyat semakin lupa dengan peranan Perlembagaan dan Institusi Di-Raja di negara ini.

Suruhanjaya Kedaulatan Negara menurut Pak Wan, akan berfungsi untuk memantau keseimbangan bidang kuasa di antara institusi diraja serta dua cabang lain iaitu legislatif dan kehakiman.

“Penubuhan suruhanjaya khas ini mampu mengimbangkan pendapat selain memberi pengetahuan kepada rakyat terhadap hak kerajaan dan hak institusi diraja berdasarkan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan situasi semasa,” katanya.

Rabu lalu Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah sidang Parlimen perlu dibuka segera.

Pak Wan berkata ramai pihak termasuk pemimpin politik dan peguam, tidak memahami takrifan sebenar di sebalik hasrat Seri Paduka Baginda dan menterjemahkannya mengikut pemahaman sendiri.

“Ada yang menuduh kerajaan derhaka dan degil, ada yang cakap kerajaan takut,” katanya.

Sebaliknya menurut Pak Wan, soal tarikh bila parlimen akan bersidang, Perdana Menteri akan merafakkan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu berdasarkan pembentangan data dan sains.

“Hal itu terkandung dalam Perkara 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri selaku ketua Jemaah Menteri.

“Bila banyak pihak membuat takrifan Perlembagaan Persekutuan mengikut kefahaman sendiri, persepsi negatif akan timbul dan mengelirukan rakyat di bawah. Sebab itu saya cadang penubuhan Suruhanjaya Kedaulatan Negara,” katanya kepada Wacana.my ketika dihubungi hari ini.

Mohd Redzuan turut berpandangan titah Seri Paduka Baginda adalah selari dengan kenyataan Perdana Menteri yang merancang untuk membuka sidang Parlimen pada bulan September atau Oktober hadapan.

Jelas beliau lagi, bukti komitmen kerajaan dapat ditunjukkan menerusi insitiatif kerajaan mengkaji kaedah terbaik membolehkan sidang Parlimen diadakan pada saat pandemik termasuk cadangan sidang Parlimen secara hibrid.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

45  +    =  54