Sungai tercemar jejas pendapatan nelayan Pasir Gudang

 Sungai tercemar jejas pendapatan nelayan Pasir Gudang

Othman (hadapan) dan kakitangan JAS meninjau keadaan air kotor dan berbau akibat pencemaran di Sungai Kopok, Kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang, semalam.

PASIR GUDANG, 10 Jul  — Insiden pencemaran akibat buangan sisa toksik di Sungai Kopok, Kampung Perigi Acheh di sini sejak seminggu lalu bukan sahaja menjejaskan kesihatan penduduk, malah mengakibatkan hasil tangkapan nelayan merosot.

Ketua Kampung Perigi Acheh, Othman Adon berkata, lebih 70 nelayan di kampung tersebut terjejas dan beratus-ratus ikan mati akibat pencemaran terbaharu itu yang dikesan penduduk sejak Khamis lalu.

“Sejak seminggu lalu air sungai berwarna hitam dan kadang-kadang hijau serta busuk akibat buangan bahan toksik dari Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat.

“Sejak pencemaran ikan, udang dan ketam timbul serta mabuk sebelum mati. Begitu juga hasil ternakan kupang mati begitu sahaja.

“Ini menjejaskan rezeki penduduk kerana majoriti mereka adalah nelayan sungai dan laut manakala selebihnya bekerja di kilang-kilang berdekatan selain bekerja sendiri,” katanya selepas meninjau keadaan Sungai Kopok dan Sungai Daeng semalam yang terletak kira-kira dua kilometer dari laut dan Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat.

Turut hadir, Penghulu Mukim Sungai Tiram, Mohd. Afiff Mohd. Adzhar; Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Cahaya Baru/Tanjung Langsat, Rapenah Ali; Ketua Kampung Tanjung Langsat, Khadni Hamzah dan empat kakitangan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.

Othman berkata, pencemaran itu menyebabkan nelayan kampung tersebut sudah seminggu tidak menangkap ikan, namun ada juga yang tetap menangkap hasil sungai dan laut tetapi tidak berani menjualnya kerana bimbang keracunan makanan.

Mereka buntu dengan masalah itu kerana bukan sahaja tidak dapat turun ke sungai dan laut, malah keadaan bertambah susah apabila tidak dapat mencari rezeki akibat kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Oleh kerana sungai dan laut masih tercemar, terdapat nelayan kampung itu yang terpaksa mencari hasil laut di kawasan lebih jauh, iaitu sehingga ke perairan Pengerang, Kota Tinggi untuk mencari rezeki.

“Pada Jumaat dan Sabtu lalu pencemaran air bewarna hitam pekat dan busuk. Selepas itu hujan lebat pada Ahad air bertukar menjadi kuning kerana tanah dari kawasan kilang baharu yang sedang dibina masuk ke dalam sungai.

“Pada Isnin dan Selasa bertukar hitam dan pada Rabu pula menjadi hijau hingga kini. Apabila air laut pasang, sungai akan membawa semua kotoran masuk ke Sungai Kim Kim. Semasa air surut akan ada bekas-bekas warna hitam di tebing sungai dan berbau busuk,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *