Sungai Kadamaian tidak lagi damai

 Sungai Kadamaian tidak lagi damai

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

KOTA KINABALU, 14 Feb: Pada 5 Jun 2015 negara dikejutkan dengan gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu dekat Ranau, yang mengorban 18 nyawa termasuk malim gunung.

Hampir enam tahun berlalu, gempa bumi terkuat dalam sejarah Malaysia itu meninggalkan banyak kesan khususnya kerosakan ekosistem sepanjang Sungai Kadamaian di Kota Belud, daerah yang bersempadan dengan Ranau.

Sekitar 1,500 hektar lereng Gunung Kinabalu mengalami runtuhan dengan ratusan bongkah batuan pelbagai saiz berkumpul di lereng bukit dan lembah sungai khusunya di Sungai Kadamaian.

Tanah runtuh yang berleluasa serta aliran debris dan banjir lumpur yang berulang merosakkan tadahan air Gunung Kinabalu selain mengubah sistem saliran sungai tersebut.

Sungai Kadamaian, Kota Belud menghadapi masalah kerosakan ekosistem teruk berikutan gempa bumi di Ranau pada 2015.

Penyelesaian untuk menghentikan kejadian banjir agak sukar kerana sistem saliran Sungai Kadamaian sudah mengalami perubahan morfologi yang agak luar biasa.

Endapan pasir yang kasar hasil aliran debris yang tidak sepatutnya berada di hilir sungai memerlukan masa yang panjang untuk dikeluarkan secara semulajadi.

Selain Sungai Kadamaian yang menjadi nadi bekalan air Kota Belud, turut terjejas adalah Sungai Mesilou di Ranau serta Sungai Penataran dan Kilambun masing-masing di Kota Belud.

Prof Dr Felix Tongkul

Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah, Prof Dr Felix Tongkul, berkata kekerapan banjir di daerah itu antara kesan terbesar jangka panjang akibat gempa bumi di Ranau pada Jun 2015.

Katanya, Sungai Kadamaian yang menjadi laluan banjir lumpur selepas insiden gempa bumi itu, kini cetek dan tidak lagi mampu menampung aliran air yang banyak khususnya di hilir sungai menyebabkan ia mudah melimpah dan membanjiri puluhan kampung di kawasan rendah.

Beliau berkata, banjir lumpur dan hakisan berterusan dari kawasan runtuhan di Gunung Kinabalu menyebabkan mendapan serius di sepanjang Sungai Kadamaian, menjadikan dasarnya cetek.

“Selepas gempa bumi berkenaan berlaku kerosakan tadahan air menyebabkan bekalan air bersih berkurangan. Tadahan yang rosak kurang keupayaan menyerap dan menyimpan air hujan dan akibatnya aliran air permukaan meningkat.

“Morfologi sistem saliran terubah, sekali gus menyebabkan banjir berulang sehingga tiga kali sebulan ketika hujan lebat.

“Ikan di kawasan diwartakan sebagai ‘tagal’ termasuk kelah juga semakin pupus kerana kerosakan ekosistem sungai dan aliran debris atau banjir lumpur membunuh hidupan sungai,” katanya kepada Wacana.my.

Prof Felix berkata, daerah Kota Belud yang terkenal sebagai jelapang padi utama di Sabah kerana hampir separuh keluasan kawasannya adalah tanah rata; turut berhadapan cabaran kerosakan padi dan sawah akibat kekerapan banjir.

Katanya, pernah beberapa kali padi yang menunggu masa dituai rosak kerana dilanda banjir, manakala banjir lumpur menyebabkan air sungai kurang sesuai untuk pengairan sawah.

Kerosakan padi di Kota Belud selepas dilanda banjir awal Februari lalu

“Satu cabaran industri tanaman padi di daerah itu adalah banjir dari Sungai Kadamaian. Keadaan banjir menjadi lebih buruk sejak kejadian gempa bumi di Ranau pada pada Jun 2005,” katanya.

Mengenai cadangan untuk mengatasi masalah kekerapan banjir, Prof Felix berkata kawasan kritikal sepanjang Sungai Kadamaian perlu diperdalamkan atau dibina tembok penghadang bagi menghalang aliran debris atau banjir lumpur melimpah ke kawasan penempatan dan pertanian.

“Langkah bersepadu diperlukan untuk mengenalpasti cara paling berkesan untuk memulihkan sungai ini kepada keadaan sediakala,” katanya.

Bulan lalu, kerajaan negeri memberi jaminan akan melaksanakan projek mendalamkan hilir Sungai Kadamaian bagi mengatasi masalah banjir besar yang kerap melanda daerah itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dilaporkan berkata muara sungai yang cetek dikenal pasti menjadi satu punca kejadian banjir kerap berlaku di daerah ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

80  −    =  75