Sumbangan Tahun Baru Cina di PPR Air Panas

 Sumbangan Tahun Baru Cina di PPR Air Panas

Datuk Wan Saiful (tengah) dan Edey Ng Wei Yeap ketika menyampaikan bantuan kepada penduduk PPR Air Panas

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Persatuan Kebajikan Masyarakat Cina Kampung Baru Air Panas menyampaikan buah limau serta angpow kepada masyarakat Cina di PPR Air Panas, di sini semalam.

Pengerusinya, Edey Ng Wei Yeap berkata, kebanyakan masyarakat Cina di kawasan itu adalah kalangan yang susah, warga emas serta Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kami buat apa yang termampu bagi membantu penduduk PPR di sini berasa gembira serta diingati walaupun negara dilanda pandemik COVID-19. Keprihatinan ini sedikit sebanyak menunjukkan kekuatan keharmonian serta perpaduan yang wujud di negara berbilang bangs aini,” katanya kepada Wacana.my

Turut hadir pada program itu ialah  Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Ketua Bahagian BERSATU Setiawangsa, Mohd Ikhmal Abu Bakar; serta Ketua Penyelaras Yayasan Inisiatif BINA Bangsa – Setiawangsa, Zulkifly Yusof.

Sementara itu, Lim Chin, 74, berkata sumbangan itu membuktikan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini masih kuat, sekali gus membuatkan perayaan Tahun Baru Cina lebih bermakna.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada persatuan penduduk serta pihak yang terlibat kerana ia sedikit sebanyak membuat saya berasa diingati pada musim perayaan ini,” katanya.

Datuk Wan Saiful pula melahirkan rasa terharu dengan jemputan Edey Ng kerana ini menunjukkan Malaysia meraikan kepelbagaian kaum dalam negara.

“Isu perkauman di negara ini kelihatan semakin reda dan ini berlaku apabila ada sedikit kestabilan yang wujud dalam parti politik yang menjadi teras di negara kita.

“Apabila ada kestabilan di kalangan kaum majoriti, isu-isu sensitif kurang menjadi masalah. Jadi, kita kena sama-sama pertahankan kestabilan yang ada terutama sekali dengan menjaga kesatuan yang wujud di kalangan parti politik di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Zulkifly berkata program sempena sambutan Tahun Baru Cina amat menggalakkan serta dapat mendekatkan mereka dengan masyarakat.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  7  =