Sultan Johor serah 7.5 juta pelitup muka, 260 mesin layan diri

 Sultan Johor serah 7.5 juta pelitup muka, 260 mesin layan diri

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 24 Mac – Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) bekerjasama dengan Yayasan Temasek dari Singapura menyerahkan sumbangan 7.5 juta pelitup muka dan 260 mesin pelitup muka layan diri bernilai RM25 juta.

Rakyat Johor bakal menerima satu pek setiap seorang yang mengandungi dua keping pelitup muka bercirikan anti bakteria, boleh dibasuh dan diguna semula sehingga 30 kali bagi setiap keping.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyerahkan 620,000 pelitup muka untuk kegunaan pelajar kepada Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Shaharuddin Saari di Istana Pasir Pelangi, di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Hasni Mohammad; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, YB Dato’ Azmi Rohani; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ, Datuk Avinderjit Singh; Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Fadhly Suffian Laili serta Mejar Cina, Datuk David Wong.

Di Johor terdapat 1,189 sekolah dengan bilangan 628,702 pelajar.

Sultan Ibrahim bertitah, pelitup muka yang boleh dibasuh dan anti bakteria itu akan disampaikan kepada masyarakat di semua daerah termasuk pelajar secara percuma.

“Mesin pelitup muka layan diri pula akan ditempatkan di lokasi strategik di seluruh daerah secara berperingkat.

“Penempatan lokasi mesin di semua daerah akan ditentukan oleh kerajaan negeri bersama-sama YSIJ bagi memastikan edaran pelitup muka dapat disampaikan kepada rakyat di seluruh Johor.

“Hasrat saya adalah untuk memastikan pelitup muka ini mudah diperoleh oleh semua rakyat dalam menjaga kesihatan masing-masing,” titah Baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Sementara itu, Shaharuddin yang mewakili warga pendidik menjunjung kasih kepada Sultan Johor atas sumbangan pelitup muka kepada pelajar di Johor.

“Baginda sememangnya amat menitikberatkan kesejahteraan dan keselamatan pelajar di Johor. Pelitup muka ini akan disampaikan kepada semua sekolah di Johor secara berperingkat,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5  +  5  =