Sultan Johor nafi keluar kenyataan kerajaan UMNO perlu berhenti perdaya rakyat

 Sultan Johor nafi keluar kenyataan kerajaan UMNO perlu berhenti perdaya rakyat

Sultan Johor menafikan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan UMNO perlu berhenti memperdayakan rakyat Malaysia seperti yang tular dalam sebuah poster.

JOHOR BAHRU, 29 Ogos – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan bahawa kerajaan UMNO perlu berhenti memperdayakan rakyat dengan memberi segala alasan dan tipu helah.

Menurut satu hantaran terbaharu dalam laman sosial Facebook rasmi baginda menegaskan, kenyataan tersebut adalah palsu dan disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sultan Johor bertitah, segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengan baginda ataupun keluarga Diraja Johor hanya akan dikeluarkan Royal Press Office (RP) atau Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor dalam laman sosial rasmi.

“Rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan atau berita palsu yang disebarkan dalam media sosial,” titah Sultan Johor, hari ini.

Tular sekeping poster yang memaparkan gambar Sultan Ibrahim seolah-olah baginda pernah bertitah dengan mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Baru-baru ini, tampuk pemerintahan kerajaan Pusat kembali diterajui UMNO apabila Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat sokongan majoriti daripada 114 Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9.

Beliau menjawat jawatan berkenaan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hilang sokongan majoriti daripada ahli Dewan Rakyat.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

15  −  12  =