Sultan Ibrahim kurnia darjah kebesaran

 Sultan Ibrahim kurnia darjah kebesaran

Sultan Ibrahim mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (DK II) kepada Hasni di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 23 Mac – Sultan Johor berkenan mengurniakan Darjah-Darjah Kebesaran di Balai Mengadap Istana Bukit Serene, di sini hari ini.

Majlis pengurniaan darjah itu bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Turut berangkat Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Khaleeda; selain Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim; dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim.

Baginda berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Kedua (DK II) kepada Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad pula dikurniakan Darjah Mahkota Johor Yang Amat Mulia Pangkat Pertama Dato’ Sri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Dato’.

Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Kedua Dato’ Mulia Sultan Ibrahim Johor (DMIJ) yang juga membawa gelaran Dato’ dikurniakan kepada Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Salleh; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman dan Timbalan Mufti Johor, Datuk Ahmad Faisal Mohamed.

Lima penerima dikurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Ketiga Setia Mulia Sultan Ibrahim Johor (SIJ).

SIJ dikurniakan kepada Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil; Pegawai Daerah Kulai, Zainor Adani; Pengarah Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Dr Mohtar Pungut @ Ahmad; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr Shaharom Nor Azian Che Mat Din; dan Kadi Besar Negeri Johor, Halid Sono.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

49  +    =  53