Sukar rungkai misteri harga minyak, kos sara hidup 

 Sukar rungkai misteri harga minyak, kos sara hidup 
Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid

 

Arah-aliran terkini menunjukkan harga minyak Brent yang merupakan antara penanda aras harga minyak global telah pun meningkat melebihi paras AS$60 setong. Ia juga melebihi sasaran yang ditetapkan kerajaan apabila merangka belanjawan bagi tahun ini. Berdasarkan Medium-Term Fiscal Framework (MTFF) yang merupakan kerangka belanjawan kerajaan bagi 2021 sehingga 2023, harga minyak mentah dunia yang disasarkan adalah AS$45 sehingga AS$55 setong.

Justeru, kenaikan harga minyak ini adalah suatu ‘bonus’ kepada kerajaan memandangkan hasil kerajaan bakal meningkat. Perkara ini membolehkan kerajaan berbelanja bagi merancakkan ekonomi domestik pada tahun ini.

Namun situasi ini tidak satu hala. Ia sememangya ada kesan sampingan apabila harga minyak petrol runcit juga dijangka meningkat. Bagi tempoh 13 sehingga 19 Februari, harga minyak petrol RON95 berada pada paras RM1.96 seliter. Angka ini jauh berbeza jika dibandingkan dengan paras terendah tahun lalu iaitu RM1.25 seliter sekitar Mei 2020. Ini merupakan peningkatan sebanyak 57 peratus. Begitu juga dengan harga minyak diesel yang meningkat sebanyak 54 peratus kepada RM2.15 seliter pada tempoh sama. Meskipun demikian, kerajaan telah pun menetapkan harga siling RON95 dan diesel pada paras RM2.05  dan RM2.15 seliter.

Bagaimanapun, persoalan harga ini sememangnya suatu misteri yang agak sukar dirungkai. Ini kerana paras harga barang dan perkhidmatan cenderung untuk meningkat. Ahli-ahli ekonomi juga boleh dikatakan belum menemui jalan penyelesaian isu ini. Mereka cuma mampu mengenal pasti dan polar permasalahan yang berlaku. Sebagai contoh, mazhab ekonomi New Keynesian ada menyatakan ‘Prices Are Sticky Downwards’ dan fenomena ‘Menu Cost’ yang mana kedua-duanya menjurus kepada harga tidak cenderung untuk turun. Pendapat ini amat bertentangan dengan pengikut ekonomi klasikal yang mempercayai harga akan diselaraskan dengan situasi permintaan dan penawaran.

Memandangkan isu ini belum menemui jalan penyelesaian secara menyeluruh, maka perkara yang kita boleh lakukan adalah merawat gejala atau simptom kepada masalah yang dibincangkan iaitu masalah kuasa beli yang kian berkurangan. Berdasarkan pengalaman peribadi, harga roti canai pada 1990 adalah sekitar 40 sen sekeping dan sekarang harganya adalah sekitar RM1.20 sekeping. Ini mewakili peningkatan tiga kali ganda. Sudah tentu kalau wang RM1 dibawa ke kedai mamak, jawabnya kita tidak boleh membeli apa-apa dengan wang tersebut. Mungkin gula-gula sahaja yang mampu dibeli yang mana kuantiti yang dapat dinikmati juga amat berkurangan jika dibandingkan tiga dekad lalu.

Bercakap berkenaan dengan punca kenaikan, umum amat memahami situasi ini.  Peningkatan kos perniagaan seperti harga bahan mentah, kadar upah, barang modal seperti mesin dan peralatan adalah antara perkara yang menjadi penyumbang kepada kenaikan harga. Di samping itu, peniaga juga mahu mengekalkan margin keuntungan mereka. Ini memaksa harga jualan terpaksa ditingkatkan. Selain itu, sifat pembeli yang menerima paras harga yang dipaparkan juga menyebabkan transaksi perniagaan dapat dilengkapkan. Maksudnya, pembeli dilihat “bersetuju” dengan harga yang ditunjukkan maka berlakulah urus niaga yang sah.

Ini bermakna peranan pembeli juga membantu dalam merealisasikan proses kenaikan harga. Sehubungan dengan itu, mungkin akan ada pihak yang berpendapat gaji dan upah perlu dinaikkan disebabkan harga barangan yang sudah meningkat naik. Hakikatnya, gaji dan upah juga adalah ‘harga’ kepada buruh. Ia adalah harga perkhidmatan yang diberikan kepada majikan bagi tujuan melaksanakan tugasan diberi. Pertimbangan gaji akan mengambil kira spesifikasi tugas, tahap kemahiran dan pengalaman. Dari segi faktor harga barangan, ia mungkin sebahagian daripada pertimbangan dalam penentuan gaji kerana majikan juga ingin menarik perhatian dan ingin memastikan pekerja kekal bersama mereka. Oleh itu, faktor harga barang dalam penentuan tingkat gaji dan upah hanya sebahagian daripada pertimbangan majikan.

Oleh itu, apa yang boleh kita lakukan bagi menghadapi situasi harga barang atau kos sara hidup yang kian meningkat? Hakikatnya, tidak ada manual yang berpiawai bagi menjawab persoalan ini. Sebaiknya kita harus menggunakan kebijaksanaan dalam membuat pertimbangan yang rasional. Sekiranya, tabiat kita berbelanja juga boleh menyumbang kepada kenaikan harga barang, maka perkara pertama harus disemak adalah trend perbelanjaan kita. Adakah berlaku pembaziran dan berbelanja tidak mengikut keutamaan? Dengan kata lain, sebagai pengguna, kita perlu merancang perbelanjaan kerana pendapatan kita adalah terhad. Oleh itu, setiap agihan pendapatan yang akan dibelanjakan perlu memberi manfaat yang baik termasuk keupayaan kita untuk menyimpan.

Apabila kita boleh menyimpan dengan pendapatan yang diterima, kita perlu laburkan wang itu. Ini disebabkan nilai wang akan dimamah oleh faktor inflasi atau kenaikan harga. Secara purata, kadar inflasi negara meningkat sebanyak 2.4 peratus setahun. Ini bermakna, kuasa beli kita akan turun sebanyak RM2.40 bagi setiap RM100 yang disimpan di rumah atau di bawah bantal. Jadi kita mesti melabur. Namun, apabila mahu melabur, perlu fikirkan soal risikonya pula. Ini kerana hukum alam pelaburan adalah semakin tinggi pulangan sesuatu pelaburan itu maka semakin tinggi pula risiko pelaburan. Oleh itu kena tepuk dada dan tanya iman.

Selain melabur, mungkin kita boleh fikirkan untuk mempelbagaikan pendapatan. Dalam hal ini, menceburkan diri dalam bidang perniagaan dilihat seolah-olah strategi yang biasa kita dengar. Namun hakikatnya, ia tidak semudah yang disangka. Ini adalah kerana perniagaan memerlukan pengetahuan tentang bidang atau sektor yang ingin diceburi di samping faktor modal dan buruh bagi melaksanakan satu-satu perusahaan itu, tidak kira sama ada skalanya kecil atau besar. Maksudnya, sebelum menceburi bidang perniagaan, ia memerlukan seseorang untuk berfikir dengan semasak-masaknya sebelum membuat komitmen untuk berniaga. Ini adalah kerana dunia perniagaan penuh dengan pancaroba baik dari segi persaingan, turun naik harga jualan serta amalan perniagaan yang tidak baik seperti penipuan dan ketidakjujuran di dalam ekosistem perniagaan itu.

Justeru, kalau mahu berniaga, ia memerlukan tahap kesabaran yang tinggi bagi menghadapi cabaran yang amat berbeza dengan kita bekerja makan gaji.

Di samping itu, melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi juga biasa kita dengar. Ini kerana ramai beranggapan bahawa dengan kelulusan yang tinggi, maka ia boleh membuka ruang bagi seseorang itu untuk naik pangkat dan sebagainya. Sekali lagi, kita perlu berhati-hati dengan persepsi sebegini kerana melanjutkan pelajaran boleh dianggap pelaburan yang sememangnya ada risiko. Oleh itu, bagi mereka yang mahu melanjutkan pelajaran, perlu jelas objektif dan hala tujunya supaya wang dan masa yang dilaburkan tidak disia-siakan.

Umumnya, persoalan kenaikan harga ini adalah isu yang “universal” namun belum ada penyelesaian yang tuntas. Oleh itu, sebagai rakyat yang bijak, kita perlu tahu bagaimana untuk menghadapi masalah ini dengan baik supaya pengakhirannya akan membuatkan kita berasa tenang dan sejahtera.

Penulis ialah Ketua Penganalisis Ekonomi, Bank Islam Malaysia Berhad.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi wacana.my)

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  8  =  2