Suhu global dijangka naik 2.7 darjah Celsius – PBB

 Suhu global dijangka naik 2.7 darjah Celsius – PBB

RUSSELS, 19 Sept — Kegagalan mengurangkan pembebasan gas rumah hijau akan mengundang malapetaka dahsyat kepada seluruh dunia susulan pemanasan global dijangka meningkat 2.7 darjah Celsius.

Kebimbangan itu disuarakan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, beberapa minggu sebelum Mesyuarat Ke-26 Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP26) diadakan.

Pendirian itu juga selari dengan laporan PBB mengenai komitmen negara berhubung kadar pembebasan gas yang tidak merekodkan sebarang pengurangan, sebaliknya menunjukkan peningkatan ketara.

“Ini menandakan dunia sedang menuju ke arah malapetaka jika kadar pemanasan global bertambah 2.7 darjah Celsius, bercanggah dengan matlamat suhu yang ditetapkan sebelum ini.

“Dalam perjanjian iklim PBB-Paris 2015, kita menyasarkan kadar pemanasan dikekalkan pada paras bawah dua darjah Celsius dan jika boleh, kurang 1.5 darjah Celsius untuk peringkat pra industri.

“Kegagalan untuk mencapai matlamat ini mengundang kesan buruk terhadap kehidupan dan kebajikan penduduk dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

PBB semalam dilaporkan berkata, komitmen yang kini disuarakan pelbagai negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dikhuatiri tidak mampu menangani malapetaka berikutan perubahan iklim.

Malah, kesannya sudah ketara sekarang di mana dunia menyaksikan bencana alam seperti taufan, ribut, banjir, tanah runtuh, kebakaran hutan dan letusan gunung berapi berlaku pada kadar luar biasa berbanding tahun-tahun sebelumnya.

PBB menegaskan, komitmen terbaru negara tertentu bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau belum cukup untuk mengelakkan malapetaka pemanasan global.

Antara penyumbang utama musibah itu, China dan India, tidak boleh hanya ‘bercita-cita tinggi’ tanpa aksi bagi memenuhi komitmen mereka sebelum sidang kemuncak COP26 November depan.

COP26 menyasarkan tindakan lebih agresif dalam kalangan 200 negara yang menandatangani Perjanjian Paris dan bersetuju untuk cuba mengehadkan kesan pemanasan global akibat kegiatan manusia pada kadar 1.5 darjah Celsius.

Mengikut analisis PBB, komitmen disuarakan pelbagai negara bakal menyaksikan kadar pelepasan gas rumah hijau global meningkat 16 peratus lebih tinggi pada 2030 berbanding 2010.

Ketua Iklim PBB, Patricia Espinosa, berkata angka itu jauh berbeza dengan kadar pengurangan 45 peratus yang cuba dicapai menjelang 2030 demi mengekang kesan perubatan iklim yang dahsyat.

“Keseluruhan angka pembebasan gas rumah hijau menuju ke arah yang salah, apa yang kita cuba lakukan sekarang sama sekali tidak mencukupi.

“Diakui kita menerima isyarat positif menerusi perbincangan dengan beberapa negara berhubung sasaran komitmen mereka sebelum persidangan COP26 di Glasgow, Scotland, namun tidak dizahirkan,” katanya.

Amerika Syarikat (AS) dan 27 negara Kesatuan Eropah (EU), masing-masing ialah penyumbang gas rumah hijau kedua serta ketiga terbesar selepas China dan kesemuanya menyasarkan kadar pengurangan yang lebih sukar dicapai tahun ini.

Bagaimanapun, negara yang menyumbang kepada hampir separuh daripada keseluruhan pembebasan gas kesan rumah hijau belum menyatakan sebarang usaha sedemikian, antaranya China, India dan Arab Saudi.

Brazil dan Mexico pula mengemaskini komitmen pembebasan gas rumah hijau yang disifatkan penganalisis sebagai lebih tinggi, berbanding sasaran terdahulu.

Presiden COP26, Alok Sharma, berkata usaha menangani perubahan iklim akan terencat sekiranya tiada sebarang tindakan daripada semua negara, khususnya yang mempunyai skala ekonomi lebih besar.

Negara seperti India menyatakan bahawa sukar untuk mengurangkan kadar pembebasan gas rumah hijau dengan lebih cepat, melainkan menerima sokongan negara kaya bagi melabur dalam industri dan tenaga karbon rendah.

Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), semalam tidak menolak kemungkinan negara kaya akan gagal memenuhi matlamat menyumbang AS$100 billion (RM417.15 bilion) yang dibuat tahun lalu bagi membantu negara membangun menangani perubahan iklim.

PBB berkata pihaknya akan menerbitkan sebuah lagi laporan pada 25 Oktober ini untuk menilai sebarang komitmen perubahan iklim baharu yang dikemukakan sebelum 12 Oktober.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *