SUHAKAM puji usaha tingkatkan saringan COVID-19, kejayaan PICK

 SUHAKAM puji usaha tingkatkan saringan COVID-19, kejayaan PICK

KUALA LUMPUR, 26 Jul — Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memuji usaha kerajaan meningkatkan ujian dan saringan serta kejayaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dengan hampir setengah juta dos vaksin diberikan setiap hari pada masa ini.

Berdasarkan data Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), setakat 23 Julai lepas, 71.9 peratus golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang menyumbang kepada separuh daripada kes positif setiap hari telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagaimanapun pada masa yang sama Suhakam turut melahirkan kebimbangan dengan peningkatan ketara kes COVID-19 dan kadar kematian yang tinggi kebelakangan ini yang tidak hanya disebabkan oleh kemunculan varian Delta COVID-19 yang lebih mudah berjangkit, tetapi juga disebabkan oleh mereka yang dengan sengaja mengabaikan prosedur operasi standard (SOP).

“Sehingga imuniti berkelompok dapat dicapai di seluruh negara, masyarakat diingatkan untuk terus mengamalkan SOP yang telah menjadi amalan biasa. Usaha tanpa henti dan tidak berbelah bahagi oleh barisan hadapan sahaja tidak mencukupi untuk membebaskan negara daripada krisis COVID-19

“Tindakan atau sebaliknya, oleh setiap ahli komuniti dan masyarakat awam secara keseluruhannya adalah sama penting dalam menangani pandemik ini,” menurut Suhakam dalam kenyataan pada Isnin.

Suhakam menyeru supaya sokongan sewajarnya diberikan kepada barisan hadapan seperti pekerja penjagaan kesihatan, agensi penguatkuasaaan, pekerja kontrak dan sukarelawan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka dijaga dengan baik.

“Mereka (barisan hadapan) perlu dibekalkan dengan peralatan pelindung diri (PPE), peralatan perlu dan juga manfaat lain dengan mengambil kira risiko yang dihadapi setiap hari dan juga sumbangan mereka yang tidak ternilai kepada negara dalam krisis ini,” kata Suhakam.

Menurut kenyataan itu, Suhakam telah menerima satu memorandum daripada Gerakan Doktor-doktor Kontrak Malaysia berkenaan terma pengambilan kerja mereka dan berharap pihak yang terlibat dapat berbincang dan menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan dengan segera kerana ia merupakan isu kepentingan awam.

Suhakam juga berharap kementerian yang berkaitan akan mengambil langkah-langkah proaktif untuk menyediakan bantuan segera dan perancangan awal bagi membangunkan semula industri kecil dan sederhana yang telah mengalami kerugian besar akibat COVID-19.

Suhakam turut menyambut baik mesyuarat khas Dewan Rakyat yang bermula hari ini hingga 2 Ogos depan dalam memastikan mekanisma semak dan imbang pentadbiran negara dijalankan dan memberikan ruang kepada ahli Parlimen mengetengahkan dan membincangkan isu-isu berkaitan rakyat.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  73  =  79