• Sunday, 20 June 2021, 9:00 am

Suami beli 8 motosikal untuk ekspedisi Ayuni

 Suami beli 8 motosikal untuk ekspedisi Ayuni

Oleh Mohammad Ishak

 

Ayuni Abdullah peminat tegar motosikal

JERTIH 21 Feb: Melakukan jelajah jarak jauh dengan menunggang motosikal biasanya menjadi pilihan lelaki. Mereka juga banyak menghabiskan duit untuk membeli motosikal idaman. Namun wanita sekarang turut meminati hobi sama walau aktiviti itu disifatkan lasak dan merbahaya.

Hakikat itu dibuktikan oleh peminat motosikal, Ayuni Abdullah, 35, dari Bachok, Kelantan, yang menganggap dirinya sudah sebati dengan motosikal.

Beliau menjadi peminat tegar motosikal sejak lima tahun lalu dan sanggup menghabiskan duit mahupun masa menyertai jelajah bermotosikal ke seluruh negara.

Ketika ini, Ayuni mempunyai lapan jenis motosikal yang dihadiahkan oleh suaminya untuk melakukan  aktiviti bermotosikal.

Ibu empat anak itu juga beberapa kali melepasi sempadan negara dengan menunggang motosikal Yamaha RXZ.  Beliau beruntung kerana mendapat sokongan suami yang juga aktif dalam aktiviti kenderaan pacuan empat roda.

Setakat ini, Ayuni menunggang motosikal secara konvoi ke Thailand, Kemboja dan Vietnam pada 2018 dan 2019 lalu. Bagi setiap ekspedisi itu, peserta dilatih supaya sentiasa bersabar, mempunyai ketahanan diri yang kental dan paling utama menjaga disiplin diri di jalan raya.

Ketika di Kemboja dan Vietnam, peserta perlu berhati-hati ketika menunggang kerana kedua-dua negara terbabit mempunyai jumlah penduduk paling ramai menggunakan motosikal untuk urusan harian.

Ayuni ketika dalam perjalanan menuju ke Vietnam

“Saya berharap ada  peluang diberikan oleh pihak penganjur untuk menyertai aktiviti konvoi bermotosikal ke beberapa negara lain bagi meningkatkan lagi kemahiran menunggang di sana,” katanya.

Walaupun letih dan memenatkan, menunggang motosikal jarak jauh ketika di luar negara tetap menyeronokkan malah memberi  kepuasan yang amat bermakna.

Ayuni berkata, ketika di luar negara beliau sering didekati penduduk tempatan yang ingin mengetahui pengalaman menunggang motosikal.

“Alhamdulilah setakat ini, tidak ada kejadian buruk menimpa sepanjang mengikuti konvoi bermotosikal di luar negara,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *