Stadium Olimpik Tokyo adakan raptai uji protokol COVID

 Stadium Olimpik Tokyo adakan raptai uji protokol COVID

Susunan Iqhram Ahmad

KURANG tiga bulan sebelum Sukan Olimpik Tokyo, satu sesi ujian diadakan di Stadium Olimpik Tokyo, Ahad lalu bagi menguji serta menyesuaikan protokol COVID-19 pada acara rasmi yang akan diadakan pada Julai nanti.

Walaupun Tokyo kini berada dalam darurat akibat kenaikan kes COVID-19, acara ujian tanpa penonton itu tetap berlangsung dan disertai 420 atlet, termasuk sembilan atlet dari luar negara.

Acara yang dibahagikan kepada sesi pagi dan petang itu diadakan dengan 11 acara ujian. Antaranya bola tampar, menyelam, maraton serta larian pecut di mana pelari pecut Amerika Syarikat dan pemenang pingat emas Olimpik 2004, Justin Gatlin, muncul juara pada aksi final 100m yang diadakan pada sesi petang acara ujian berkenaan.

Menurut tinjauan The Guardian, Sukan Olimpik Tokyo menerima tentangan hebat daripada penduduk Jepun, yang membantah acara sukan itu diadakan pada musim panas ini kerana peningkatan kes COVID-19 yang mencecah empat angka.

Presiden Atletik Dunia, Sebastian Coe berkata pihaknya memandang serius mengenai masalah dan kerisauan yang dihadapi masyarakat mengenai pandemik COVID-19.

“Protokol Covid, terutama yang dibuat oleh pihak Atletik Dunia sejak tahun lepas telah banyak membantu penganjur sukan mengadakan acara dalam keadaan persekitaran yang selamat dan terjamin.

“Kebanyakan atlit mahu meneruskan acara ini kerana mereka telah berlatih bertahun-tahun bagi menyiapkan diri untuk acara yang sepatutnya diadakan pada tahun lepas,” katanya.

Sukan Olimpik yang ditunda setahun akibat pandemik akan membuka tirai pada 23 Julai, dengan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan penganjur menegaskan bahawa langkah-langkah akan dibuat untuk memastikan keselamatan atlet dan pelawat lain, serta penonton.

Menurut kajian yang dibuat The Guardian, hampir 60 peratus daripada rakyat Jepun ingin Sukan Olimpik Tokyo dibatalkan dengan kerisauan terhadap varian berbeza COVID-19 yang dibawa oleh orang luar.

Dalam kajian itu, 59 peratus mahukan sukan itu dibatalkan manakala bakinya mahukan ianya diadakan. Penangguhan sukan ini tidak ditawarkan oleh IOC kerana boleh mengakibatkan kerugian besar kepada penganjur.

Jepun telah melanjutkan arahan darurat di Tokyo dan beberapa wilayah lain hingga hujung Mei akibat lonjakan kes COVID-19 yang didorong oleh varian baru yang lebih menular, dengan kakitangan perubatan memberi amaran bahawa perkhidmatan kesihatan di beberapa daerah kini dalam ambang keruntuhan.

Irwan Abd Rahman

https://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

20  −  17  =