SSM agihkan zakat kepada 134 usahawan asnaf

 SSM agihkan zakat kepada 134 usahawan asnaf

Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Pahang, Kamarudin Mohd Daut dan Dr Asmadi Abdul Rahman (tiga dari kanan) bersama sebahagian 134 usahawan asnaf yang menerima bantuan zakat pada majlis penyerahan sumbangan SSM kepada usahawan asnaf negeri Pahang di Grand Darul Makmur hotel. Foto – Mohd Fikri

KUANTAN, 10 Nov — Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengagihkan zakat perniagaan sebanyak RM134,000 kepada usahawan asnaf di negeri ini yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pengarah SSM Pahang, Kamarudin Mohd Daut berkata, setiap usahawan asnaf menerima RM1,000 bagi meringankan beban yang ditanggung terutama apabila mereka tidak dapat menjalankan perniagaan dalam tempoh yang panjang.


Menurutnya, pihaknya mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dalam menjayakan program agihan bantuan zakat kepada golongan usahawan asnaf di negeri ini.


Katanya, mereka terdiri daripada usahawan kecil yang menjalankan perniagaan makananan dengan syarat
berdaftar perniagaan yang diusahakan dengan SSM.


“Sebelum ini kita turut menyediakan bantuan berbentuk kewangan antara RM300 hingga RM500 kepada masyarakat pelbagai kaum yang terkesan berikutan PKP disebabkan wabak Covid-19.


“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu antara bukti keprihatinan SSM pada golongan yang terkesan dengan PKP,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan SSM kepada usahawan asnaf negeri Pahang di Grand Darul Makmur hotel, di sini semalam.


Hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Dr Asmadi Abdul Rahman.


Kamarudin berkata, bantuan zakat yang diberikan diharap dapat dijadikan modal tambahan kepada usahawan untuk meneruskan semula perniagaan yang diusahakan sebaliknya tidak terhenti separuh jalan.


“Saya sudah menyatakan hasrat kepada MUIP bahawa SSM akan menambahkan lagi bantuan zakat kepada usahawan asnaf di negeri, saya yakin masih ramai lagi golongan usahawan kecil memerlukan sokongan.


“Kita ingin memastikan semua usahawan asnaf tidak putus asas untuk meneruskan perniagaan yang telah diusahakan,” katanya.


Sementara itu Dr Asmadi berkata, bantuan zakat yang diterima usahawan asnaf diharap dapat membantu memulihkan perniagaan yang diusahakan golongan terbabit yang terjejas berikutan PKP.


“Kali ini mereka menerima zakat, selepas ini apabila mereka berjaya dalam perniagaan diharapkan mereka pula mengeluarkan zakat perniagaan yang digunakan untuk membantu golongan memerlukan.


“Kesedaran membayar zakat perniagaan dikalangan peniaga Islam di negeri ini semakin bertambah, mereka sedar kewajiban yang ditunaikan,” katanya.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  2