SPRM tahan penyelia sekolah asrama buat tuntutan palsu

 SPRM tahan penyelia sekolah asrama buat tuntutan palsu

Seorang penyelia sebuah sekolah asrama di Kota Tinggi ditahan reman bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 20 April – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan seorang penyelia asrama sebuah sekolah asrama di Kota Tinggi kerana disyaki membuat tuntutan palsu kontrak pembekalan makanan pelajar sekolah.

Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek bersubahat dengan beberapa syarikat kontraktor dengan membuat tuntutan berkaitan kontrak pembekalan makanan sudah bermasak untuk pelajar bagi tahun 2015, 2018 dan 2020.

Keseluruhan tuntutan itu hampir RM20 juta.

Suspek wanita berusia 40 tahun yang bertugas sebagai penyelia di sekolah berasrama itu ditahan di Pejabat SPRM Johor, di sini pada jam 10 malam tadi bagi membantu siasatan kes tersebut.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan suspek direman selama enam hari mulai hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret, Nur Izzaty Mohammad Zahari.

Kes disiasat di bawah Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  30  =  36