SPRM pandang serius kegiatan rasuah doktor untuk sijil vaksinasi

 SPRM pandang serius kegiatan rasuah doktor untuk sijil vaksinasi

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki

KUALA LUMPUR, 31 Ogos — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius dakwaan berlakunya kegiatan merasuah doktor bagi mendapatkan sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata siasatan berhubung perkara itu sedang dilakukan dan jika ia benar-benar berlaku, perbuatan tersebut bukan saja menjejaskan reputasi profesion pengamal perubatan malah mencalarkan imej mereka.

“Setakat ini, SPRM belum menerima sebarang aduan berkaitan isu berkenaan namun akan menyiasat dan melakukan risikan ke lokasi-lokasi yang disyaki melakukan perbuatan penyelewengan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia Dr Steven Chow pada Rabu mendakwa beberapa ahlinya ditawarkan RM1,000 oleh beberapa individu untuk memalsukan sijil digital vaksin.

Menurut Dr Steven, tidak semua individu yang membuat tawaran itu adalah golongan antivaksin malah terdapat segelintir yang memerlukan sijil berkenaan untuk melakukan perjalanan dalam tempoh segera.

Susulan pendedahan itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Prof Datuk Dr M Subramaniam semalam menggesa pihak berkuasa menyiasat laporan media berkenaan beberapa individu cuba merasuah doktor untuk mendapatkan sijil digital lengkap vaksinasi COVID-19 tanpa disuntik vaksin.

Azam dalam pada itu meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku tersebut untuk menghubungi SPRM di talian utama (hotline) 1-800-88-6000 atau portal aduan rasuah di portaladuan.sprm.gov.my.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

7  +  3  =