SPR perlu perjelas masalah kekangan pelaksanaan Undi 18

 SPR perlu perjelas masalah kekangan pelaksanaan Undi 18

KUANTAN, 27 Mac — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu tampil menjelaskan kekangan pelaksanaan pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun yang ditangguhkan bermula Julai ini ke September tahun depan.

Datuk Saifuddin Abdullah

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata sekiranya SPR menghadapi masalah teknikal, ia harus dijelaskan.

Saifuddin, yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, berkata demikian selepas menghadiri Program Erat Kasih Bersama Penduduk Balok Makmur di Masjid Balok Makmur, di sini hari ini, yang melibatkan pemberian sumbangan bantuan kebajikan kepada 64 ketua keluarga B40 sekitar Balok.

Kelmarin, Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata pelaksanaan tersebut dijangka hanya mampu dilakukan selepas 1 Sept tahun depan susulan, antaranya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjejaskan perancangan dan persiapan suruhanjaya itu.

Terdahulu pada majlis itu, Saifuddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang turut menyerahkan tablet kepada 60 pelajar dan sumbangan RM100,000 untuk menaik taraf dan pembesaran Masjid Balik Makmur.

Beliau juga memaklumkan Pejabat Parlimen Indera Mahkota menghulurkan bantuan segera kepada 100 rumah di sekitar Balok, Pelindung, Sungai Karang dan Batu Hitam yang dibadai ribut pada 23 dan 24 Mac lalu termasuk menyewakan inap desa kepada mangsa yang kehilangan rumah.

 

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  4