SPR mampu laksanakan PRN Melaka ikut SOP dengan lancar

 SPR mampu laksanakan PRN Melaka ikut SOP dengan lancar

SELARAS dengan tugas dan tanggungjawab yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Setelah lebih dua tahun COVID-19 melanda dunia, sekali lagi Malaysia akan menyaksikan PRN dijalankan mengikut norma-norma baharu, bagi memastikan lunas-lunas demokrasi  dipatuhi dalam apa sahaja keadaan.

Pengundian PRN Melaka pada 20 November ini bukanlah perkara baharu dalam pengurusan pilihan raya dalam persekiran pandemik COVID-19. Pilihan Raya Kecil Chini, Slim dan PRN Sabah pada tahun lalu telah membuktikan bahawa SPR mempunyai kemampuan yang tinggi untuk menjalankan pilihan raya dengan lancar dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Pilihan raya adalah ‘game of numbers’. Kesemua pihak yang terlibat termasuk calon-calon dan parti-parti politik mengharapkan agar mereka dapat berjumpa untuk berkempen dengan seramai mungkin pengundi. SPR pula ingin meyakinkan setiap pengundi supaya keluar mengundi.

Namun dalam keadaan negara kita dihimpit persekitaran pandemik, risiko jangkitan masih lagi tinggi walaupun hampir 90 peratus penduduk dewasa telah divaksin. Perhimpunan dan majlis-majlis yang melibatkan kehadiran orang ramai, yang biasa berlaku semasa musim pilihan raya bukanlah satu perkara yang harus diambil ringan oleh mana-mana pihak kerana jangkitan COVID-19 amat mudah berlaku dalam suasana tersebut. Vaksin bukan pencegah jangkitan tetapi merupakan perlindungan dari kesan teruk akibat jangkitan virus.

Oleh itu, kita amat berharap ahli-ahli politik dan calon-calon yang akan bersaing  dalam PRN Melaka akan mengambil langkah berhati-hati agar PRN ini tidak menjadi platfom penyebaran COVID-19 sebagaimana yang telah disaksikan semasa PRN Sabah tahun lalu.

Beberapa proses pilihan raya boleh ditambah baik oleh SPR bagi memastikan orang ramai tidak berkumpul. Bermula dengan proses penamaan calon. Jangka masa untuk mengemukakan borang-borang pencalonan boleh dipanjangkan, misalnya melebihi satu jam berbanding amalan sekarang. Waktu yang lebih panjang akan membolehkan calon-calon untuk hadir di pusat-pusat penamaan calon di waktu yang berbeza bagi mengelakkan keadaan sesak sebagaimana yang sering berlaku pada hari penamaan calon. Bagi calon-calon dan parti-parti politik pula, adalah tidak perlu untuk menunjuk ‘kekuatan sokongan’ dengan perarakan dan perhimpunan besar-besaran, yang melibatkan kehadiran penyokong dalam jumlah yang besar. Penyokong-penyokong calon dan parti politik boleh menunjukkan sokongan dengan undi yang banyak pada hari mengundi kerana undi adalah lebih penting dari perarakan dan perhimpunan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus memastikan bahawa perkara ini dapat dilaksanakan dengan tegas dan sempurna.

Kempen pilihan raya secara tradisional dengan perhimpunan dan ceramah secara berkumpul besar-besaran bukan lagi cara berkempen yang patut diteruskan semasa PRN Melaka. Calon-calon dan parti-parti politik harus berkempen dengan lebih kreatif dan berinovasi bagi mengelak interaksi antara manusia yang boleh menyebabkan jangkitan.

Kempen dalam talian, melalui media sosial sebagai contoh, perjumpaan skala kecil adalah antara cara baharu yang boleh dipraktikkan oleh pihak-pihak yang berkaitan. Kempen pilihan raya di Jepun merupakan antara contoh yang baik untuk diikuti dan diamalkan di negara ini. Stesen-stesen televisyen dan radio boleh memberi ruang yang lebih besar kepada semua calon dan bukan hanya calon-calon tertentu untuk berkempen. Keterbukaan saluran televisyen untuk berkempen seperti yang diamalkan di negara-negara demokratik maju seperti Australia, New Zealand dan negara-negara Eropah, boleh dijadikan contoh di sini.

SPR mengumumkan bahawa pengundi berdaftar yang berada di Singapura, Kalimantan dan selatan Thailand boleh mengundi secara pos bagi PRN Melaka. Ini adalah satu langkah yang amat dialu-alukan. Ramai lagi pengundi yang harus diberi peluang untuk mengundi secara pos di atas sebab tuntutan kerja dan alasan lain yang munasabah. SPR harus mencari jalan untuk memudahkan kesemua pengundi untuk mengundi tidak kira di mana mereka berada dan setiap undi yang dikeluarkan harus dipastikan diambil kira. Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) telah mengemukakan banyak cadangan untuk pembaikan perjalanan pilihan raya dan cadangan-cadangan tersebut perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Telah menjadi lumrah di Malaysia untuk penyokong-penyokong dari luar tempat mengundi untuk hadir memberi sokongan. Di dalam keadaan pandemik COVID-19, kehadiran penyokong dari luar kawasan ini boleh menimbulkan risiko jangkitan yang lebih tinggi. Sejarah PRN Sabah 2020 harus dijadikan teladan. PRN berpunca daripada tindak-tanduk ahli-ahli politik Melaka yang kononnya memperjuangkan kepentingan rakyat negeri tersebut. Jadi adalah wajar untuk pilihan raya ini diuruskan sepenuhnya oleh orang Melaka. Tidak perlu bagi orang lain mencampuri urusan dalaman negeri Hang Tuah tersebut.

Budaya politik di Malaysia selama ini menunjukkan pilihan raya dianggap seolah-olah hari raya yang disambut dengan penuh kemeriahan. Ekoran COVID-19 pelbagai perayaan di negara ini telah disambut secara sederhana dengan penuh keinsafan. Diharap pilihan raya juga akan disambut dalam pendekatan sederhana, tetapi semangat demokrasi tetap diraikan. Proses demokrasi ini perlu diraikan, namun ‘pesta pilihan raya’ harus diketepikan dan hanya perkara-perkara yang wajib dan asas yang perlu dilaksanakan dengan sempurna.

Jangan jadikan PRN Melaka sebagai asas peningkatan COVID-19 kelak. Negara masih belum sepenuhnya keluar daripada pandemik. Ia perlu dijadikan pengajaran dan panduan.

 

Amerul Muner Mohammad

Centre for Electoral Education and Democracy

Amerul Muner Mohammad

Amerul@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *