SPNB perkenal 6 model reka bentuk baru Rumah Mesra Rakyat

 SPNB perkenal 6 model reka bentuk baru Rumah Mesra Rakyat

SHAH ALAM, 9 Mac — Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin (empat, kiri) melawat galeri Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) sempena lawatan rasmi di Ibu Pejabat SPNB hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (lima, kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zainal Abidin Abu Hasan (tiga, kiri) dan Ketua pegawai Eksekutif SPNB Datuk Hasleen Isnin (dua, kiri). — fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

SHAH ALAM, 9 Mac — Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) hari ini memperkenalkan enam model reka bentuk baharu Rumah Mesra Rakyat (RMR) termasuk rumah jenis bertiang bagi memberi pilihan dan keselesaan kepada pemohon.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin berkata pengenalan model terkini tersebut akan memberikan nafas baru kepada SPNB dengan lebih pilihan tawaran reka bentuk berbanding hanya dua reka bentuk sebelum ini.

Zuraida berkata projek pembinaan model rumah jenis bertiang di bawah program RMR itu akan dibina di Pahang sebagai negeri pertama yang akan dimulakan tidak lama lagi.

“Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini juga ada meminta untuk dibina rumah jenis bertiang kerana pada musim banjir rumah-rumah di atas tanah akan mengalami kesan banjir yang teruk.

“Jadi kita diminta untuk membuat RMR di atas tanah dengan bertiang seperti rumah panggung dan diharapkan apabila tiba musim banjir rumah mereka akan terselamat ,” katanya kepada Bernama selepas membuat lawatan di ibu pejabat baharu SPNB di sini hari ini.

Sehingga kini, sebanyak 47,153 unit RMR telah berjaya disiapkan di seluruh negara.

Pada tahun ini, SPNB telah diamanahkan oleh kerajaan untuk membangunkan 3,000 unit rumah RMR dengan 749 unit kini sedang dalam pembinaan dan 1,531 unit lagi dalam peringkat menandatangani dokumen perjanjian.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SPNB Datuk Haslee Isnin berkata selain reka bentuk baharu, terdapat penambahbaikan ke atas polisi perlindungan insurans RMR sedia ada dengan penambahbaikan perlindungan ke atas permohonan baru RMR.

“Selain perlindungan kebakaran dan banjir, pemohon akan turut menerima perlindungan kemalangan, badal haji, khairat kematian dan juga kos penghospitalan sebanyak RM100 sehari,” katanya.

Beliau berkata SPNB kini dalam peringkat akhir mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan untuk menaikkan syarat had kelayakan pendapatan asal bulanan seisi rumah pemohon daripada RM 3,000 ke RM 5,000 sejajar dengan keadaan ekonomi semasa.

Program RMR ditawarkan kepada pemohon yang belum memiliki rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang untuk dibina rumah di atas tanah sendiri.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  5