SOP sesi persekolahan diputuskan KKM, KPM Khamis ini

 SOP sesi persekolahan diputuskan KKM, KPM Khamis ini

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin nekad akan ‘menyusahkan’ hidup golongan anti vaksin

SEMPORNA, 8 Sept — Keputusan mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunakan bagi sesi persekolahan secara bersemuka 3 Oktober ini akan dimuktamadkan dalam satu mesyuarat penyelarasan antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan (KPM), Khamis ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sebaik keputusan mengenai perkara itu dibuat pada mesyuarat tersebut, ia akan dibawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk tindakan seterusnya.

“Saya ada mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Kementerian Kesihatan serta Menteri Kanan Pendidikan (Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin) bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan.

“Apa pun kita akan buat keputusan muktamad selepas mesyuarat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program outreach suntikan vaksin COVID-19 kepada penduduk di Pulau Larapan dekat sini pada Selasa.

Beliau berkata, selain suntikan vaksin kepada pelajar sekolah, terdapat cadangan lain berkenaan pendidikan dan kesihatan ketika menghadapi cabaran COVID-19 yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu, bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut.

Mengenai situasi Sarawak pada Isnin mencatat kes baharu COVID-19 tertinggi iaitu 3,714 kes dengan kadar vaksinasi di negeri itu mencapai 80 peratus, Khairy berkata, 99 peratus kes merupakan pesakit kategori satu dan dua.

“Hanya empat pesakit berada di kategori tiga, empat dan lima, (kes di Sarawak) ini menunjukkan kita dalam fasa melaksanakan peralihan kepada endemik, seolah-olah kita hidup dengan virus ini.

“Masih lagi ada jangkitan tetapi kesannya tidak teruk sangat dengan batuk dan demam ringan sahaja,” katanya.Dalam pada itu, Khairy memuji kesedaran kepentingan vaksinasi COVID-19 dalam kalangan penduduk di kawasan pulau dan pedalaman di Sabah yang menurutnya berada pada tahap yang tinggi pada masa ini.

Beliau berkata, ini dapat dilihat dengan sambutan amat menggalakkan terhadap program outreach suntikan vaksin di pusat pemberian vaksin (PPV) sementara di dewan terbuka Sekolah Kebangsaan Pulau Larapan di sini pada Selasa yang menyediakan 1,000 dos vaksin jenis dos tunggal CanSino.

“Bukan sahaja penduduk pulau ini datang mendapatkan suntikan vaksin tetapi penduduk dari pulau berdekatan.

“Komunikasi untuk tingkat kesedaran semakin baik dan penduduk tahu mengenai vaksinasi ini melalui ketua kampung, dan penduduk ini sedar vaksinasi itu untuk kesihatan,” katanya.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

78  −    =  68