Songkok hasil tangan Dalila , pilihan orang kenamaan termasuk Sultan Johor

 Songkok hasil tangan Dalila , pilihan orang kenamaan termasuk Sultan Johor

Nurdalila Abd Ghani

Oleh Kamarul Halim M Kamal

MUAR, 14 Mei — Jenama songkok “Masood Hussin” sangat terkenal di Bandar Diraja ini, namun tidak ramai mengetahui bahawa seni warisan songkok yang diasaskan oleh Allahyarham Masood Hussin lebih 75 tahun dahulu, kini diwarisi cucu perempuannya, Nurdalila Abd Ghani.

Wanita berusia 41 tahun itu, mula didedahkan dengan seni pembuatan songkok oleh datuknya itu sejak berusia tujuh tahun dan mula berjinak-jinak membuat songkok ketika masih belajar di sekolah menengah.

Atas minat yang mendalam terhadap seni buatan aksesori pelengkap baju Melayu itu, siswazah lulusan Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA itu nekad membuka kedainya sendiri di Jalan Majidi-Jalan Meriam, di sini pada 2002, bagi mengkomersialkan songkok jenama arwah datuknya yang pernah popular di Muar sekitar tahun 60-an.

“Ramai yang tidak percaya saya yang membuat songkok. Walaupun seorang perempuan tetapi saya mahir membuat pelbagai jenis songkok. Malah, saya juga mengajar suami (Zahedy Zakariah, 43 tahun) untuk membuat songkok agar kesenian pembuatan songkok Muar ini tidak pupus ditelan zaman,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Lebih membanggakan, songkok Muar hasil jahitan tangannya itu turut menjadi pilihan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh yang merupakan antara pelanggan tetap songkok jenama Masood Hussin.

“Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar juga pernah menempah khas songkok untuk digunakan dalam Istiadat Kemahkotaan Baginda pada tahun 2015,” katanya yang turut menerima tempahan daripada pelanggan serta peminat songkok Muar dari Singapura, Brunei dan Indonesia.

Nurdalila bersama suaminya Zahedy Zakariah, 43, menunjukkan songkok yang dihasilkannya setelah mewarisi bakat membuatnya daripada datuknya, Masood Hussin

Menurut Nurdalila, keistimewaan songkok Masood Hussin adalah ia diperbuat dengan tangan dan material yang digunakan diimport selain saiznya tinggi sedikit berbanding songkok biasa.

Katanya, harga jualan setiap songkoknya adalah antara RM15 hingga RM400 dan boleh mencecah sehingga RM3,000 bergantung kepada jenis material yang digunakan serta ditempah khas.

“Bahan untuk buatan songkok ini adalah kain baldu terdiri daripada warna hitam dan navy blue, namun bagi pelanggan di Johor ini, mereka lebih menggemari warna royal blue dan jenis songkok tinggi (songkok mahkota),” katanya menambah songkok lain yang sentiasa menerima tempahan pelanggan termasuk, songkok rata, songkok bulat (songkok daeng), songkok lipat dan songkok istiadat.

Tambahnya, perniagaannya juga tidak terkecuali daripada terjejas ketika penularan wabak COVID-19  dengan sebelum itu jualan mampu mencecah sebanyak 30,000 songkok setahun, namun pada tahun lepas (2020) jualan hanya sekitar 10,000 songkok.

“Namun, saya tetap meneruskan jualan songkok secara dalam talian. Tahun lepas, daripada 10,000 tempahan yang diterima, separuh (5,000) dijual secara dalam talian dan media sosial dan tempahan lazimnya meningkat  ketika sambutan Hari Raya,” katanya menambah kebanyakan songkok yang ada di pasaran kini, diimport dari Indonesia.

Bercerita mengenai faktor generasi kini yang kurang berminat untuk menceburi seni pembuatan songkok, Nordalila mengakui ini kerana proses buatan songkok agak rumit, bermula daripada pembuatan kerangka daripada kadbod atau lipatan surat khabar.

“Begitu juga dengan corak dalaman songkok serta jahitannya (jahitan sembat) yang memerlukan ketelitian dan kesabaran yang tinggi,” katanya yang hampir 20 tahun menceburi bidang pembuatan songkok tersebut.

Bagi meneruskan seni warisan ini, beliau dan suami turut mencurahkan ilmu kepada anak sulungnya Itfan Raziq Zahedy, 14, bagi memastikan kelangsungan seni warisan ini akan terus terpelihara untuk generasi akan datang.

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  3