Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Sokongan meningkat, Kerajaan Perikatan Nasional absah dan stabil – Ir Khairil

Oleh Suraya Ali
KUALA LUMPUR, 27 April — Kejayaan Kerajaan Perikatan Nasional mengemudi negara mendapat pujian daripada Pemuda Perikatan Nasional.
Dalam sebuah kenyataan, Ketua Pemuda Perikatan Nasional YB Senator Ir Ts Khairil Nizam Khairudin berkata usaha kerajaan yang menampilkan keabsahan dan kestabilan negara dianggap berjaya susulan peningkatan sokongan rakyat yang meningkat bukan sahaja di kalangan Orang Melayu tetapi juga dokongan bukan Melayu.
“Ia sekaligus menjadi bukti rakyat yakin dengan citra Perikatan Nasional yang mewakili rakyat yang majmuk pelbagai kaum,” katanya.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Merdeka Center baru-baru ini mendapati 67% pengundi di Semenanjung Malaysia berpuas hati dengan kepimpinan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dapatan ini terhasil daripada sokongan orang Melayu yang tinggi sekitar 83% selain sokongan bukan Melayu yang meningkat dari masa ke masa,” katanya.
Menurut Khairil lagi, hasil kajian ini dilihat mampu menjadi ukuran semasa untuk mengetahui sentimen rakyat kepada Kerajaan Perikatan Nasional.
“Tinjauan terhadap pengundi di beberapa kawasan mendapati ramai yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin berbanding pemimpin lain bagi menggalas tugas sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Kejayaan peningkatan sokongan kepada Kerajaan juga dipercayai atas faktor kejayaan kerajaan menangani wabak Covid 19 yang melanda negara sejak tahun lalu.
“Kerajaan dilihat mampu mengimbangi keperluan menyelamatkan nyawa rakyat di samping memastikan kelestarian ekonomi terus berjalan lancar,” katanya.
Sehubungan itu Pemuda Perikatan Nasional yakin dan komited untuk terus menyokong dan meneruskan usaha bagi memperkukuhkan keyakinan rakyat khususnya di kalangan generasi muda untuk terus bersama Nasional melakar masa depan Malaysia yang lebih gemilang.