Skuad wanita kebangsaan catat kemenangan bergaya 2-0 berdepan Palestin

 Skuad wanita kebangsaan catat kemenangan bergaya 2-0 berdepan Palestin

KUALA LUMPUR, 22 Sept — Skuad bola sepak wanita menamatkan saingan Kumpulan H kelayakan Piala Asia Wanita 2022 dengan kemenangan selepas menepati ramalan menewaskan Palestin 2-0 di Stadium Antarabangsa Faisal Al-Husseini, Jerusalem, malam ini.

Selepas mempamerkan aksi longlai ketika tumbang 0-4 di tangan Thailand pada aksi pembukaan kumpulan Ahad lepas, skuad bimbingan Ketua Jurulatih Jacob Joseph tampil dengan gaya permainan lebih baik berdepan Palestin, namun gagal mencetak jaringan pada separuh masa pertama.

Semangat barisan pemain negara kekal membara selepas rehat apabila memulakan 45 minit kedua perlawanan dengan garang sebelum akhirnya Andrea Lee menghadirkan keceriaan buat kem negara menerusi gol pembukaan pada minit ke-57.

Andrea mudah menampan masuk bola ke gawang menewaskan penjaga gol Nadin Elias selepas memanfaatkan kesilapan pertahanan Palestin mengeluarkan bola dari kawasan kotak penalti.

Peluang Malaysia menggandakan kedudukan hadir pada minit ke-64, namun kali ini Nadin bertindak cemerlang menyelamatkan rembatan jarak dekat pemain gantian Nur Farishah Erinna Hisham.

Malaysia yang ghairah memburu gol berjaya menambah jaringan menerusi kapten pasukan Steffi Sarge Singh selepas beliau menyempurnakan sepakan percuma pada minit ke-81 sekali gus mengesahkan kemenangan pasukan dan mengubati kekecewaan perlawanan terdahulu.

Palestin memiliki peluang keemasan untuk meledak gol sagu hati pada masa kecederaan separuh masa kedua tetapi ia dinafikan penjaga gol Nurul Azurin Mazlan yang berjaya menangkap kemas tandukan kapten lawan Caroline Sohgian.

Malaysia yang menghuni ranking ke-92 dunia kini berada di kedudukan kedua kumpulan berkongsi tiga mata dengan pendahulu Thailand (ke-39 dunia) yang akan berdepan Palestin (ke-120 dunia) pada aksi terakhir Kumpulan H, Sabtu ini.

Hanya juara setiap kumpulan akan layak ke pusingan akhir Piala Asia Wanita yang dijadual berlangsung pada Januari depan di India.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *