• Thursday, 17 June 2021, 1:51 pm

Skuad Harimau Malaya gagal mengaum, dibelasah 4-0 oleh UAE

 Skuad Harimau Malaya gagal mengaum, dibelasah 4-0 oleh UAE

Aksi pertama pemain naturalisasi negara, Guilherme De Paula juga menghampakan. Foto WMY/Adli Ghazali

DUBAI, 3 Jun —Skuad bola sepak negara dibelasah 4-0 oleh UAE dalam perlawanan Kumpulan G peringkat pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia yang berlangsung di Stadium Zabeel, Dubai sebentar tadi.

Dari awal permulaan perlawanan, UAE menunjukkan corak permainan yang baik dengan hantaran yang kemas, manakala pemain-pemain skuad Harimau Malaya gagal mempamerkan tentangan sengit kepada pasukan lawan.

Aksi debut Dion Johan Cools bersama Harimau Malaya antara yang dinantikan. WMY/Adli Ghazali
UAE terlebih dahulu menghukum skuad kendalian Tan Cheng Hoe dengan Ali Ahmed berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-19 dengan mudah menyepak masuk menewaskan penjaga gol Malaysia, Farizal Marlias.

Barisan tengah negara yang diketuai oleh pemain naturalisasi Liridon Krasniqi, Syamer Kutty dan Azam Azih juga gagal membuat hantaran dan lorongan cantik untuk mencipta peluang dan percubaan buat barisan penyerang.

Safawi Rasid dan Sumareh juga kelihatan sukar mendapatkan bola seterusnya tiada pergerakan atau cubaan merbahaya dari mereka.

Safawi Rasid gagal menunjukkan prestasi yang diharapkan dalam perlawanan ini. WMY/Adli Ghazali
Seorang lagi penyerang naturalisasi negara Guilherme De Paula juga dilihat kerap mensia-siakan peluang dan kurang membuat tentangan dan cubaan untuk mendapatkan bola.

Selepas itu perlawanan terus dikuasai oleh UAE namun sekali sekali ada pergerakan dari skuad negara namun tidak membahayakan pertahanan lawan sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, Cheng Hoe mengeluarkan Azam Azih dan memasukkan Syafiq Ahmad namun barisan tengah negara diibarat terus hilang punca dan gagal menguasai permainan seterusnya pada minit ke-83, pemain gantian Fabio Lima menghukum kelekaan pemain pertahanan negara dengan jaringan gol kedua.

Aksi pemain pertahanan UAE Mahmoud Khamis yang berjaya menggagalkan pergerakan pemain negara. WMY/Adli Ghazali

Skuad negara mendapat satu peluang keemasan menerusi Syafiq Ahmad namun sepakan tersebut gagal menewaskan penjaga gol UAE, Ali Khaseif yang beraksi dengan tenang mengawal gawang UAE pada perlawanan ini.

Namun ketika perlawanan berbaki empat minit di masa kecederaan, UAE terus merobek kealpaan barisan pertahanan negara  dengan gol ketiga jaringan Ali Ahmed pada minit ke-91 menjadikan 3-0.

Tersentap dengan jaringan tersebut, skuad Harimau Malaya sekali lagi dihukum dengan jaringan kedua Fabio Lima yang mudah memperdayakan Dion Johan Cools seterusnya menewaskan penjaga gol negara Farizal Marlias.

Biarpun tewas, aksi beberapa pemain negara harus diberikan pujian. Antaranya aksi cemerlang Farizal Marlias biarpun dibolosi empat kali manakala Syafiq Ahmad, Dion Cools dan Corbin Ong juga wajar diberikan kredit kerana antara pemain rajin untuk lakukan pergerakan di atas padang.

Selain Dion Cools, Corbin Ong juga antara pemain ‘rajin’ dalam perlawanan ini. WMY/Adli Ghazali
Kekalahan ini pastinya memberi tamparan hebat buat Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang dikritik kerana memilih barisan pemain yang majoriti dari pasukan yang sama dan ada juga pemain dipertikai kerana tidak mendapat minit permainan dalam pasukan yang diwakili mereka.

Malaysia akan bertemu Vietnam pada 12 Jun nanti dan skuad Harimau Malaya wajib menang dan perlu mengutip 3 mata pada perlawanan menentang Vietnam dan Thailand untuk menghidupkan peluang ke peringkat seterusnya.

Reaksi Muhamadou Sumareh yang kelihatan kecewa selepas pasukan Malaysia kalah 4-0 kepada UAE. WMY/Adli Ghazali

Malaysia kini menghuni tangga keempat Kumpulan G dengan 9 mata.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *