SKM, LGM bekerjasama dalam pembangunan industri getah melalui gerakan koperasi

 SKM, LGM bekerjasama dalam pembangunan industri getah melalui gerakan koperasi

KUALA LUMPUR, 28 Okt — Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk kolaborasi strategik dalam pembangunan industri berasaskan getah melalui gerakan koperasi.

Ia ditandatangani oleh Ketua Pengarah LGM Datuk Dr Zairossani Mohd Nor dan Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM Zazali Haron. Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar.

Pada sidang media, Zuraida berkata pemeteraian MoU tersebut dapat membantu kementerian membangunkan semula kira-kira 50 peratus daripada kebun getah yang tidak mendatangkan hasil iaitu sama ada tidak ditoreh atau terbiar.

“Kami berharap ini akan dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana kita mahu memanfaatkannya dan tidak mahu rugi dari segi hasil getah.

“Saya turut berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dapat membantu kami dalam pengurusan pekebun sawit, koko dan kenaf berikutan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) tidak mempunyai unit yang menguruskan pembiayaan geran yang kita berikan kepada pekebun kecil,” katanya di sini hari ini.

Zuraida berkata pada tahun lepas, Malaysia mencatatkan hasil eksport getah sebanyak RM48 bilion dan setakat Julai 2021, hasil eksport getah sudah mencecah RM54 bilion.

“KPPK menjangka pendapatan negara akan meningkat kepada RM80 bilion, dua kali ganda daripada tahun lepas.

“Berdasarkan harga getah yang tinggi dalam tempoh pandemik, kementerian perlu berusaha untuk memastikan harga kekal pada paras semasa yang tinggi.

“Oleh itu, kita perlu memperkemas pengurusan pekebun kecil, mengurusnya dengan lebih berkesan supaya mereka kekal dalam industri ini. KPPK akan menambah baik teknologi dan kualiti kerja,” katanya.

Katanya di peringkat kementerian, terdapat banyak teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang telah dihasilkan dan masih berada dalam fasa ujian.

“Insya-Allah, KPPK akan memperkenalkan teknologi ini kepada pekebun kecil, antaranya cecair sapuan Mortex yang diletakkan pada alur torehan pokok getah dan selepas sapuan tersebut diletakkan, pekebun getah tidak perlu keluar menoreh hari-hari dan mereka hanya menoreh enam hari sekali,” katanya.

Zuraida berkata teknologi cecair sapuan Mortex akan menurunkan perbelanjaan kos pekerja dan masa pekebun kecil getah selain mengekalkan produktiviti yang tinggi.

Sementara itu, Noh berkata pemeteraian MoU itu amat bermakna kerana manfaatnya adalah bersifat dua hala.

“Dengan perjanjian ini, KPPK dapat membantu pekebun kecil getah manakala MEDAC dapat mencapai Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TRANSKOM),” katanya.

Katanya sehingga kini, terdapat 63 koperasi melibatkan pekebun kecil getah dengan 201,000 jumlah keanggotaan pekebun kecil getah.

“Dengan adanya perjanjian ini, kita dapat mencapai matlamat TRANSKOM selain ahli koperasi dapat dilatih untuk meningkatkan hasil pendapatan penoreh getah dan memantapkan pengurusan ladang mereka,” katanya sambil menambah daripada 63 koperasi melibatkan pekebun kecil getah, 19 daripadanya dilihat berpotensi tinggi untuk terus maju.

Pembangunan industri getah melalui gerakan koperasi dilihat mampu menggalakkan serta meluaskan penglibatan pekebun kecil getah dalam rantaian nilai dan aktiviti nilai tambah yang memberi pulangan yang baik seterusnya membimbing pekebun kecil menjadi usahawan yang berjaya.

LGM akan membantu gerakan koperasi yang terlibat dalam program kolaborasi strategik ini menerusi khidmat nasihat, latihan serta pemindahan teknologi hasil daripada R&D LGM.

SKM akan membantu dari segi mengenal pasti koperasi yang berpotensi serta menjalankan penyeliaan dan pemantauan ke atas tadbir urus koperasi yang terlibat, di samping menyediakan bantuan sokongan terutamanya dalam aspek pembangunan perniagaan.

Kerjasama strategik tersebut dilihat mampu merangsang pembangunan industri getah oleh pekebun kecil melalui koperasi yang dilihat lebih kompetitif, berdaya tahan, progresif serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  2  =  6