Skim Myezycover sasar bantu 1.6 juta golongan B40 penjawat awam dan swasta

 Skim Myezycover sasar bantu 1.6 juta golongan B40 penjawat awam dan swasta

PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO), A Tech Insure Sdn Bhd (ATECH) dan MyAngkasa Amanah Berhad (MAAB) pada hari ini memeterai perjanjian untuk pelaksanaan Skim MyezyCover bagi pembelian takaful kenderaan secara ansuran tanpa faedah serta patuh syariah.

Skim MyezyCover ini bertujuan membantu dan memberi manfaat kepada lebih 1.6 juta penjawat awam dan seterusnya golongan sasar daripada swasta dengan keutamaan diberikan kepada kumpulan B40.

Ketua Eksekutif PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed

Dalam perjanjian tersebut, PERKESO diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, ATECH oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Syed Alwi Mohamed Sultan manakala MAAB oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Encik Faudzi Mt Din.

Majlis Menandatangani Perjanjian ini disaksikan oleh Yang Berhormat Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Sumber Manusia, Tan Sri Prof. Dr. Hj. Mohamed Haniffa Hj. Abdullah, Pengerusi Lembaga PERKESO, Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamad, Pengerusi ATECH dan Datuk Hj. Mohamad Ali Hasan, Pengerusi MAAB.

Ini merupakan permulaan kerjasama di antara tiga pihak yang membabitkan Pembiayaan Patuh Shariah bernilai RM100 juta untuk Skim MyezyCover, iaitu kemudahan untuk penjawat awam dan golongan B40 membeli takaful kenderaan.

Sasaran awal Skim MyezyCover adalah penjawat awam berpendapatan rendah untuk pembelian takaful kenderaan secara ansuran tanpa faedah sehingga 10 bulan, menerusi potongan gaji oleh Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Aplikasi digital dan kemudahan di bawah MyezyCover ini akan diperluaskan kepada pelanggan-pelanggan lain seperti pesara, golongan OKU dan daripada sektor swasta.

Datuk Seri M. Saravanan

Berucap pada majlis tersebut, Datuk Seri M. Saravanan menyatakan sokongannya terhadap kerjasama strategik tersebut

“Kerjasama di antara PERKESO dengan penyedia platform digital yang terbabit dalam industri insurtech adalah satu perkembangan yang sangat menarik dan membanggakan. Kerjasama ini akan menawarkan penyelesaian kewangan kepada segmen sasaran daripada kumpulan B40 bermula dengan penjawat awam.

“Usaha ini dilihat mampu meringankan beban kewangan penjawat awam khususnya kumpulan B40 dalam pembelian produk takaful am, khususnya polisi takaful kenderaan dan cukai jalan. Ini adalah sejajar dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” tegas Datuk Seri M. Saravanan.

Sementara itu, Pengerusi ATECH, Tan Sri Abu Kassim Mohamad, melahirkan rasa gembira kerana kerjasama strategik itu mendapat sokongan daripada YB Menteri Sumber Manusia dan PERKESO.

Menurut beliau, skim itu berupaya meringankan beban kewangan penjawat awam yang terpaksa menanggung kos memperbaharui insuran kenderaan pada setiap tahun.

Usaha ini juga dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan hutang serta caj faedah yang tinggi ekoran penggunaan kad kredit atau membuat pinjaman yang tidak sewajarnya dan lebih parah, membuat pinjaman dengan syarikat pinjaman wang tidak berlesen.

Izz Fizz

izz@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *