Skala gred SPM tular palsu, KPM buat laporan polis

 Skala gred SPM tular palsu, KPM buat laporan polis

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 12 Jun — Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan bahawa ‘Skala Gred SPM’ yang tular di media sosial adalah skala gred digunakan pihaknya.

KPM dalam satu kenyataan semalam berkata, pihaknya telah membuat laporan polis pada pukul 10.31 malam tadi dan menyerahkan kepada PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi siasatan lanjut.

Skala gred palsu yang mula tular semalam itu, menggambarkan seolah-olah ia gred permarkahan boleh mengelirukan orang ramai, terutamanya ibu bapa dan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020.

“Hantaran tersebut mencemar imej, kewibawaan dan kredibiliti Lembaga Peperiksaan sebagai badan pentaksiran negara dan menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Terdahulu, tular di laman media sosial sebuah hantaran mengenai ‘Skala Gred SPM’ yang menunjukkan satu skala gred itu dengan kapsyen “Patut aku pelik budak2 sekarang berderet A.” dan “#bilasekolahdipolitikkan”.

Sebelum itu Menteri Pendidikan Datuk Mohd. Radzi bin Md. Jidin pada Rabu lalu mengumumkan keputusan SPM 2020 adalah yang terbaik sejak lima tahun lalu walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran seperti penutupan sekolah serta penggunaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

30  +    =  36