Situasi Afghanistan dibincang Kabinet Jumaat ini

 Situasi Afghanistan dibincang Kabinet Jumaat ini

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR, 7 Sept — Pendirian Malaysia mengenai situasi di Afghanistan akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata ia bagi mendapatkan nasihat dan pandangan Jemaah Menteri sebelum membuat keputusan mengenai perkara itu.

Selain Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India dan Pakistan, beliau berkata, pihaknya turut mendapatkan pandangan daripada rakan sejawat di Qatar serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Selain itu, katanya, Malaysia akan mendapatkan maklumat mengenai situasi di Afghanistan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan di negara berkenaan.

Beliau berkata, Malaysia memantau perkembangan di Afghanistan melalui pelbagai kaedah dan mengumpulkan maklumat daripada pelbagai sumber, supaya Malaysia boleh membuat keputusan dengan tepat.

“Pertama, melalui wakil kita di New Delhi untuk melawat situasi semasa di Afghanistan. Kedua, ada wakil kita di Islamabad kerana Pakistan dan Afghanistan itu sama seperti India, iaitu bersempadan.

“Kita juga berhubung dengan negara lain yang terbabit rundingan dengan Afghanistan sebelum ini, selain NGO yang ada maklumat, termasuk NGO kemanusiaan.

“Petang ini, saya akan menelefon Menteri Luar Qatar untuk mendapatkan sedikit maklumat. Saya juga akan berhubung dengan Setiausaha Agung OIC.

“Kita akan melihat perkembangan dan pertimbangan meliputi semua perkara sebelum membuat keputusan. Saya akan membawa isu berkaitan Afghanistan ke mesyuarat Kabinet untuk mendapatkan nasihat dan pandangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), di sini, hari ini.

Mengenai kedudukan rakyat Malaysia di Afghanistan pula, Saifuddin mengesahkan ada dua orang di negara itu, yang ketika ini bekerja dengan NGO kemanusiaan antarabangsa di Kabul.

Beliau berkata, ia berdasarkan maklumat diperoleh daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, India.

“Kedutaan di New Delhi sentiasa mengikuti perkembangan mereka. Dua rakyat kita itu bekerja dengan dua organisasi kemanusiaan antarabangsa di Kabul sebelum peristiwa (Taliban menguasai Afghanistan) berlaku,” katanya.

Saifuddin memaklumkan, Duta Afghanistan ke Malaysia yang dilantik bawah pentadbiran terdahulu, masih berada di Kuala Lumpur, setakat ini, kerana belum dipanggil balik oleh kerajaan negara itu.

Buat masa ini, katanya, Malaysia juga tidak mengarahkan beliau meninggalkan negara ini susulan situasi di Afghanistan, kerana ia akan umpama Malaysia sudah membuat keputusan berhubung negara itu.

“Beliau tidak dipanggil balik, setakat ini. Dari segi hubungan diplomasi, kalau kita suruh beliau balik (bermakna), kita sudah membuat keputusan mengenai kedudukan Afghanistan.

“Beliau pun belum tahu berhubung kedudukannya, sama ada akan disambung atau tidak. Di Kabul juga belum menubuhkan kerajaan rasmi,” katanya.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  87  =  97