Jengkaut dan peralatan melombong emas haram disita

 Jengkaut dan peralatan melombong emas haram disita

Pengawas Hutan, Ismadi Ab Karim menunjukan batu yang mengandungi emas ditemui di lombong haram dalam Hutan Simpan Ibam

Oleh Mohd Fikri Mie

MUADZAM SHAH, 12 Jun – Dua jengkaut antara yang disita kerana kesalahan berada di dalam Kompartmen 261 Hutan Simpan Ibam tanpa permit, di sini dalam Operasi Bersepadu Lombong, kelmarin.

Turut disita dalam operasi tiga hari itu, enjin pam air dan enjin membekal kuasa elektrik yang digunakan sindiket melombong emas secara haram yang dipercayai dijalankan tiga hingga empat lelaki warga asing.

Dua jengkaut yang disita, dipercayai digunakan untuk aktiviti melombong emas secara haram

Operasi membendung pencerobohan Hutan Simpan Ibam itu diadakan oleh Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Zon Timur dan Zon Barat dan Unit Tindakan Khas (UTK) Pejabat Hutan Daerah (PHD) Rompin yang turut disertai Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UNIFIED).

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), JPNP Nor Azirim Ahmad berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 tidak bermakna pihaknya berhenti memantau hingga membuka peluang kegiatan menceroboh hutan simpan berlaku.

Katanya, hari pertama operasi diadakan pihaknya berjaya mengesan tapak melombong emas haram di Kompartment 189 dalam Hutan Simpan Ibam yang menggunakan kaedah lubang bagi mendapatkan tanah serta batu yang mengandungi emas.

Menurutnya, tanah dan batu terpilih diletakkan dalam guni sebelum dipindahkan untuk aktiviti mengayak di kawasan takungan air yang disediakan. Kegiatan berkenaan dipercayai dilakukan pada waktu siang dan malam.

“Kelibat pemberi maklumat atau tonto menjadi penghalang pihaknya menahan individu terbabit yang terlebih dahulu meninggalkan tempat terbabit. Ini tambah sukar dengan perjalanan lebih 45 kilometer untuk sampai ke kawasan berkenaan yang terletak diatas bukit.

“Ini kali pertama kita mengesan kegiatan melombong emas secara haram menggunakan kaedah lubang, sebelum ini aktiviti tersebut melibatkan teknik palong dan ayak dengan kuali besi,” katanya.

Nor Azirim berkata, sindiket terbabit dilakukan profesional dan menggunakan teknologi moden untuk mengesan jajaran emas yang terdapat dalam Hutan Simpan Ibam, dan mereka menggunakan jentera untuk mengorek bukit batu sebelum membuat lubang mengikut jajaran emas yang jelas kelihatan.

“Kesalahan yang dilakukan ialah memasuki hutan simpan tanpa permit mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

“Awal tahun lalu anggota UTK PHD Rompin menahan empat individu yang melakukan aktiviti melombong emas secara haram di Sungai Charah dalam Hutan Simpan Ibam, mereka melombong dalam kawasan seluas kira-kira 0.4 hektar,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  66  =  67