Sistem tagal sinonim, berakar umbi dalam masyarakat Kadazandusun

 Sistem tagal sinonim, berakar umbi dalam masyarakat Kadazandusun

Masyarakat Kadazandusun di Kiulu dalam daerah Tuaran bersatu mendaratkan hasil tagal.

Oleh Mohd Azrone Sarabatin

KOTA KINABALU, 28 April – Sistem Tagal iaitu kaedah pengurusan biosfera, khususnya sungai di Sabah diadaptasi daripada amalan tradisi masyarakat Kadazandusun.

Jadi, tidak hairan hanya masyarakat itu yang tegar mempertahankan sistem yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.

Sistem unik itu juga berkait rapat dengan mitos masyarakat berkenaan bahawa tagal wujud berikutan hubungan rapat antara manusia dan ikan dalam sungai sehingga hidupan akuatik itu tidak takut kepada manusia.

Ini kerana manusia tidak melakukan perkara yang merosakkan habitat ikan, ekosistem dan tumbuhan di tebing sungai sehingga ikan membiak dan membesar dengan aman. Apabila tiba masa untuk dituai, seluruh penduduk kampung akan sama-sama menangkapnya dalam suasana meriah dan penuh perpaduan.

Kebiasaannya ikan di kawasan yang ditagalkan akan dituai sekali atau dua kali setahun.

Pakar pengurusan sistem tagal, Sudin Harun berkata, Jabatan Perikanan pernah mencuba memperkenalkan sistem tagal ke perkampungan masyarakat lain seperti Bajau, Brunei dan Iranun, namun tidak berjaya kerana kurang budaya memulihara sungai dan memelihara ikan di kawasan ditagalkan.

Ikan kelah dalam kawasan tagal sangat jinak

Malah katanya, mereka akan memukat, menjala dan memancing ikan sebelum tempoh yang ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Tagal yang dibentuk di kampung terbabit.

“Faktor ini berpunca daripada budaya kerana masyarakat Kadazandusun sudah sebati dengan sistem tagal yang diwarisi sejak zaman nenek moyang mereka dan tidak hairanlah hampir kesemua 600 sungai ditagal di Sabah adalah perkampungan Kadazandusun.

“Sistem tagal ini sebenarnya bukan saja untuk kelestarian sungai dan hasil perikanan tetapi melindungi spesies ikan yang hampir pupus seperti pelian atau ikan kelah merah,” katanya kepada Wacana.my.

Sementara itu, Ketua Anak Negeri (KAN) Kota Belud, Jumail Sampoli  yang mewakili masyarakat Kadazandusun berkata, tidak semua kawasan sungai akan ditagal, sebaliknya ada yang dibenarkan untuk penangkapan ikan dengan syarat tidak melakukan kerosakan seperti menggunakan racun, tuba dan bom ikan kerana kesannya turut merebak ke kawasan tagal.

Sebagai contohnya katanya, Sungai Kadamaian sepanjang 52 kilometer hanya separuh daripadanya di tagal terutama yang melalui perkampungan Kadazandusun, begitu juga Sungai Rumolou yang dikongsikan lebih 10 kampung.

Ditanya peranan KAN dalam melestarikan kawasan tagal, beliau berkata mereka turut bertindak sebagai `majistret’ di Mahkamah Anak Negeri untuk membicarakan kes pencerobohan kawasan tagal.

Masyarakat Kadazandusun di Kiulu dalam daerah Tuaran bersatu mendaratkan hasil tagal.

Katanya, sekitar tahun 2016, ada kes membabitkan pencerobohan tagal direkodkan dan pesalah yang ditangkap penduduk kampung dikenakan `sogit’ atau denda seekor kambing yang kemudian disembelih dan daging diagihkan kepada masyarakat kampung di kawasan tagal berkenaan.

“Setiap daerah mempunyai undang-undang tersendiri dalam membicarakan kes pencerobohan kawasan tagal. Ada daerah menetapkan seekor lembu atau kerbau dan wang tunai RM500. Undang-undang `adat’ ini membuktikan betapa seriusnya pelaksanaan sistem tagal,” katanya.

Sistem tagal adalah satu pendekatan tradisional penduduk Sabah dalam memulihara sumber perikanan sungai. Melalui sistem itu, tiada sesiapapun dibenar menangkap ikan di kawasan sungai tertentu yang ditagalkan.

Sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan sogit (denda) oleh Ketua Kampung dan Ketua Anak Negeri berdasarkan undang-undang Mahkamah Anak Negeri.

Jabatan Perikanan Sabah yang menyelaras sistem tagal pula menguatkuasa undang-undang mengikut Enakmen Perikanan Darat dan Akuakultur 2003 iaitu mereka yang didapati bersalah merosakkan kawasan tagal boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sistem tagal menyatukan penduduk sesebuah kawasan untuk bersama menguatkuasakan peraturan tagal termasuk tidak membenarkan tangkapan ikan dalam tempoh tertentu serta memastikan sumber perikanan sungai tidak diancam sebarang bentuk pencemaran seperti sampah dan serpihan kayu.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

3  +    =  7