Sinopharm, Johnson & Johnson lulus di Malaysia

 Sinopharm, Johnson & Johnson lulus di Malaysia

KUALA LUMPUR, 16 Jul — Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan bencana membabitkan dua lagi vaksin COVID-19.

Keputusan yang dimuktamadkan menerusi mesyuarat PBKD ke-361 itu membabitkan penggunaan vaksin Sinopharm dan Johnson & Johnson (J&J).

Ia sekali gus menyaksikan jenis pelalian keenam serta ketujuh dimasukkan dalam portfolio Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika mengumumkan perkara itu, berkata COVILO iaitu vaksin yang dibangunkan China National Biotec Group Company Limited (CNBG), Sinopharm, dikenali sebagai vaksin COVID-19 Sinopharm.

Katanya, vaksin J&J yang membabitkan suntikan satu dos pula dibangunkan oleh Janssen Pharmaceutica N.V. dari Belgium.

“Kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin berkenaan dipantau serta dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi produk-produk vaksin berkenaan kekal positif.

“Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 melalui perolehan bekalan vaksin yang dinilai daripada aspek tertentu.

“Ia merangkumi kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan PBKD,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pelaksanaan PICK sejak 24 Februari lalu, menyaksikan Malaysia memberi kelulusan bersyarat bagi penggunaan ketika bencana, membabitkan tiga jenis vaksin, iaitu Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca.

Mesyuarat PBKD ke-359 pada 15 Jun lalu, pula memperuntukkan kelulusan sama kepada CanSino dan J&J, masing-masing jenis satu dos suntikan lengkap.

Vaksin J&J yang mendapat ‘lampu hijau’ pada 15 Jun lalu diperoleh Kerajaan Malaysia melalui pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX dan berdasarkan kelulusan penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Secara perbandingan, vaksin J&J atau Janssen yang diluluskan hari ini ialah menerusi perolehan dari pengilang di Belgium.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk dewasa di Malaysia mencapai imuniti kelompok, selaras sasaran yang digariskan dalam PICK.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

30  +    =  34