Singapura teliti ujian tambahan untuk pertimbangan perjalanan

 Singapura teliti ujian tambahan untuk pertimbangan perjalanan

SINGAPURA, 24 Mac — Singapura sedang meneliti kemungkinan untuk mendapatkan ujian tambahan selain suntikan vaksin bagi pertimbangan perjalanan, menurut Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian (MTF) Mengenai COVID-19.

“Saya fikir kami juga mungkin akan melihat beberapa jenis ujian terhadap individu dan ia mungkin termasuk ujian antibodi untuk memastikan orang itu telah divaksin tetapi juga mempunyai tindak balas antibodi terhadap vaksin.

“Jadi itu adalah satu lagi cara yang kita boleh tentukan bahawa vaksinasi telah berkesan dan memberi tindak balas imun terhadap individu itu,” kata Pengerusi Bersama MTF Lawrence Wong yang juga Menteri Pendidikan, pada sidang media maya hari ini.

Wong menjawab soalan sama ada republik itu hanya akan menerima bukti vaksin yang sudah diluluskan di dalam sempadannya untuk sijil vaksinasi pengiktirafan bersama sedangkan pelbagai jenis vaksin digunakan oleh negara lain.

Tanpa mengira jenis vaksin yang digunakan di mana-mana negara, Wong berkata ia memberi kesan dalam membantu mengurangkan kejadian dan penularan virus, iaitu dapat mengawal jangkitan itu secara terkawal.

“Dan pada masa akan datang ia akan menjadi negara berisiko rendah dan anda tahu bahawa dalam rangka kerja kami untuk perjalanan, kami mempunyai pengkategorian berdasarkan risiko,” katanya.

Setakat ini, Pfizer-BioNTech dan vaksin Moderna COVID-19 telah diluluskan untuk kegunaan di Singapura.

Bagi program vaksinasi republik itu, MTF berkata 1,109,000 dos vaksin COVID-19 telah diberikan pada 23 Mac, dengan lebih 799,000 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Daripada jumlah itu, 310,000 individu telah menerima dos kedua dan melengkapkan regimen vaksinasi penuh, katanya.

Mulai 24 April, MTF berkata individu yang telah melengkapkan kedua-dua suntikan dan mempunyai masa untuk membangunkan perlindungan yang mencukupi – dua minggu selepas dos kedua vaksin – boleh mendapat kemasukan ke acara tanpa perlu menjalani ujian praacara.

Pada tarikh yang sama, beberapa aktiviti terpilih termasuk majlis akad nikah dan resepsi perkahwinan akan dibenar dijalankan pada skala lebih besar jika mereka melaksanakan ujian sebelum acara untuk hadirin.

Had kehadiran bagi majlis akad nikah dan resepsi perkahwinan akan ditingkatkan kepada 250 hadirin daripada 100, kata MTF.

Sementara itu, bermula 5 April, MTF berkata negara itu akan beralih daripada aturan bekerja dari rumah kepada cara bekerja lebih fleksibel dan hibrid.

Sehingga 75 peratus pekerja yang sekarang bekerja dari rumah boleh berada di tempat kerja pada satu-satu masa, berbanding 50 peratus pada masa ini, menurut MTF.

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  7  =  3