Sindiket judi bola tumpas, nilai pertaruhan RM19 juta

 Sindiket judi bola tumpas, nilai pertaruhan RM19 juta

Ayob menunjukkan wang tunai dan barangan yang dirampas dalam 40 serbuan di seluruh Johor kerana terlibat dalam judi bola sepak dalam sidang media di IPK Johor, Johor Bahru, semalam. Foto WMY/Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 29 Jun — Satu sindiket judi dalam talian sempena Kejohanan bola sepak Euro 2020 membabitkan nilai pertaruhan RM19 juta tumpas menerusi Ops Saga VIII yang dilakukan polis Johor di seluruh negeri hingga kelmarin.

Menerusi operasi di setiap daerah dari 10 hingga 26 Jun lalu, 40 serbuan dilakukan di rumah yang dijadikan tempat aktiviti perjudian.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan paling banyak adalah di daerah Johor Bahru Selatan.

“Seramai 51 warga tempatan berusia antara 18 hingga 54 tahun termasuk dua wanita daripada beberapa kumpulan berbeza ditahan kerana dipercayai terlibat sebagai ajen atau bookie sindiket pertaruhan.

“Jumlah pertaruhan bergantung kepada mereka dan sindiket ini mula beroperasi sejak 12 Jun lalu sempena kejohanan bola sepak Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) Euro 2020 yang sepatutnya diadakan pada 2020 tetapi ditunda pada 2021 kerana pandemik COVID-19.

“Mereka yang menjalankan kegiatan tersebut berpandukan 20 laman sesawang di luar negara dan aktiviti tersebut mula beroperasi sejak kejohanan tersebut bermula,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Johor (IPK), di sini semalam.

Dalam serbuan itu, polis merampas wang tunai RM35,112 selain 71 unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua unit komputer, empat komputer riba, tiga unit mesin kira, satu unit modem, dua router dan dua pencetak.

Turut dirampas 67 keping sim kad pelbagai jenis, dua jadual pelawanan bola sepak dan 15 helai kertas catatan rekod pertaruhan.

Ayob percaya masih ada saki-baki kumpulan lain yang menjalankan kegiatan itu dan dijangka semakin banyak menjelang akhir kejohanan berkenaan.

Semua suspek disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953, jika sabit kesalahan boleh didenda RM20,000 hingga RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun.

Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953, iaitu boleh didenda RM5,000 atau penjara tidak enam bulan atau kedua-dua sekali dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953, boleh didenda RM20,000 hingga RM200,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

“Kejayaan operasi ini sebahagian besarnya adalah hasil risikan yang dijalankan oleh pihak polis dan sebahagiannya daripada aduan dan maklumat orang ramai,” katanya.

Polis Johor akan terus menjalankan operasi dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pertaruhan judi bola sepak, boleh menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan atau bilik gerakan polis Johor 07-2212999 atau 07-2254677.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

7  +  1  =