Sidang Parlimen hibrid mudahkan Yang Berhormat jadi Yang Berkhidmat

 Sidang Parlimen hibrid mudahkan Yang Berhormat jadi Yang Berkhidmat
Datuk Dr Marzuki Mohamad

PADA tahun 1996, saya bertugas sebagai seorang intern di Pusat Pengajian Kepimpinan dan Pembangunan — sebuah badan pemikir tempatan — tatkala mengejar ijazah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Tempat kegemaran saya dalam pejabat adalah sebuah perpustakaan kecil dengan satu koleksi buku-buku yang bagus mengenai politik, ekonomi dan masyarakat. Perpustakaan ini adalah tempat persembunyian saya.

Bila membaca buku-buku undang-undang dan kes-kes mahkamah, yang agak membosankan bagi saya, saya beralih kepada membaca buku-buku mengenai politik dan masyarakat, yang menyegarkan minda saya untuk melihat dunia dari sudut dan perspektif yang berbeza.

Salah sebuah buku itu adalah Republik Elektronik: Membentuk Semula Demokrasi Amerika dalam Zaman Maklumat, ditulis oleh Lawrence K. Grossman, mantan ketua Berita NBC. Buku itu diterbitkan pada tahun 1995.

Dengan kemunculan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada awal tahun 1990-an, Grossman membayangkan penggunaan ICT sebagai satu alat dalam proses politik dan pemerintahan yang akan membawa kepada munculnya demokrasi langsung.

Seperti apa yang dilakukan oleh Greek purba, rakyat terlibat secara langsung dalam pembuatan dasar dan undang-undang tanpa melalui wakil-wakil rakyat sebagai orang tengah.

Beliau juga menunjukkan bahawa dengan penggunaan ICT, wakil-wakil rakyat tidak perlu berada secara fizikal di Capitol Hill untuk melibatkan diri dalam perbahasan dan meluluskan undang-undang.

Pada mulanya, saya mendapati idea Grossman agak bersifat revolusioner dan sukar dilaksanakan. Ini adalah zaman dalam mana idea kita mengenai ICT lebih banyak berkisar di sebalik mel Yahoo dan carian Yahoo. Tidak ada Google, Facebook, Twitter, TikTok, Instagram atau Zoom.

Lebih dua dekad kemudian, idea beliau sekarang tidaklah terlalu teruk. Sejak itu, sudah ada pelbagai buku dan artikel jurnal mengenai demokrasi elektronik (E-democracy) atau demokrasi digital. E-democracy sudah menjadi satu bidang pengajian penting dalam sains politik.

Hakikatnya, kita hidup dalam zaman separuh demokrasi langsung. Ya, wakil-wakil rakyat kita meluluskan undang-undang di Parlimen dan menteri-menteri membuat dasar di Putrajaya.

Selalunya, undang-undang dan dasar ini dibentuk oleh pendapat awam, digerakkan oleh rakyat, yang mengambil bahagian dalam debat-debat maya di media sosial dan Internet.

Saya percaya, sebahagian menteri dan ahli-ahli Parlimen (MP) mungkin terdorong untuk memandang sepintas lalu kepada Google sebelum mereka bercakap di Parlimen untuk memastikan apa yang mereka katakan adalah selaras dengan sentimen awam.

Gabungan undian pendapat awam, data besar dan analisis media sosial menjadikan apa yang netizen sebutkan dalam media sosial lebih diterima, yang akhirnya mempengaruhi pembuatan dasar kerajaan.

Hari ini, kerajaan, juga mesti menjadi lebih responsif kepada suara rakyat yang diluahkan melalui media sosial. Sesetengah dasar malah disemak semula bila berhadapan dengan pandangan keras daripada netizen.

Apakah ini berdolak-dalik? Sesetengah mungkin berkata begitu. Tetapi hakikatnya ialah, sesiapa sahaja yang bertanggungjawab ke atas pembuatan dasar dalam zaman letupan media sosial, mesti bersifat responsif bukan sahaja kepada pandangan-pandangan wakil-wakil rakyat atau pakar-pakar dalaman, tetapi lebih penting lagi, pandangan-pandangan rakyat — kamu, saya dan insan di jalanan.

Sama ada kita menyedarinya atau tidak, kita hidup dalam zaman separuh demokrasi langsung. Kerana kita masih mempunyai wakil-wakil rakyat atau MP untuk meluluskan undang-undang bagi pihak diri kita. Apakah mereka masih memainkan peranan penting sebagai pembuat undang-undang? Ya, mereka masih. Itu adalah kerja sebenar mereka.

Tetapi MP atau Ahli Dewan Undangan Negeri kita bukan pembuat undang-undang sepenuh masa. Mengapa? Mereka, juga, mesti berkhidmat kepada pengundi mereka, dari mengedarkan bakul-bakul makanan kepada pihak yang memerlukan hingga ke memantau pembaikian jalan berlubang.

Ini telah menimbulkan keraguan ke atas tugas sebenar MP sebagai pembuat undang-undang. Sesetengah pihak, yang mahukan MP memberi masa yang lebih untuk membahaskan rang undang-undang dan menyoal siasat menteri-menteri mengenai dasar-dasar kerajaan, telah mendesak supaya Parlimen bersidang lebih kerap. Pada sesi terakhir, Dewan Rakyat bersidang untuk tempoh selama hanya 62 hari.

Ya, Dewan Rakyat boleh bersidang lebih kerap. Tetapi ini juga bermakna MP akan meluangkan masa lebih sedikit dalam kawasan mereka kerana mereka terpaksa berada di Kuala Lumpur bila Parlimen bersidang.

Sidang terakhir memakan masa lebih kurang dua bulan, dari 7 Oktober ke 5 Disember 2020. Ini bermakna, mereka hilang dari kawasan mereka untuk satu tempoh yang agak lama. Kebanyakan mereka mengambil masa hujung minggu untuk melawat kawasan mereka. Mengimbangi antara tugasan mereka sebagai pembuat undang-undang (Yang Berhormat) dan ‘orang gaji rakyat’ (Yang Berkhidmat) bukanlah mudah.

Tetapi apakah ini akan berubah nanti? Saya tidak akan bersikap terlalu optimistik. Tetapi saya boleh merasa angin perubahan.

Cadangan Parlimen hibrid mungkin akan membawa perubahan ini. Jika cadangan ini terlaksana, MP tidak perlu hadir secara fizikal di Parlimen. Mereka boleh berada dalam kawasan mereka tatkala menanyakan soalan kepada menteri-menteri, melibatkan diri dalam perbahasan-perbahasan Parlimen, dan membuat undian ke atas rang undang-undang.

Mereka boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat di celah-celah melawat penduduk-penduduk kampung dan memantau projek-projek pembangunan dalam kawasan mereka, Tidak kira berapa lama sesi sidang, mereka boleh terus melakukan tugasan sebagai Yang Berkhidmat.

Mudah-mudahan, pelancaran 5G di bawah inisiatif MyDigital dan Jendela akan membekalkan sambungan lebih baik, yang akan membolehkan MP untuk menghadiri sidang Parlimen maya tanpa gangguan sekejap-sekejap dan mengizinkan pegawai-pegawai mereka untuk membuat penyelidikan atas talian yang lebih baik untuk mendapat bahan atau input untuk perbahasan Parlimen mereka,

Bukan hanya MP, menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri juga mungkin menjawab soalan-soalan Parlimen atau membentangkan rang undang-undang secara maya dari pejabat-pejabat mereka. Mereka boleh melakukannya di celah-celah mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat dan menghadiri temujanji-temujanji.

Saya telah menguruskan jadual perdana menteri (PM) untuk beberapa ketika. Sewaktu sidang Parlimen, semua mesyuarat dipengerusikan oleh PM diadakan di Parlimen. Kenapa? Kerana beliau mesti hadir secara fizikal. Saya pasti menteri-menteri lain juga berbuat demikian.

Jadi bila Parlimen bersidang, mereka yang datang bukan hanya MP tetapi juga pegawai-pegawai kerajaan dan mereka yang terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat tersebut.

Ini bukanlah satu amalan baik, khususnya sewaktu pandemik. Malah tanpa pandemik pun, amalan begini adalah agak membebankan dan tidak efisien.

Saya percaya sidang Parlimen secara maya akan mengingkatkan efisiensi. Menteri-menteri boleh beralih dengan mudah dari menjawab soalan-soalan Parlimen ke mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat tanpa perlu bergerak dari satu tempat ke tempat lain secara fizikal. Hanya masuk dan keluar dari satu mesyuarat ke mesyuarat lain dengan memetik ikon pada skrin.

Pegawai-pegawai, juga, mungkin tidak perlu meninggalkan kerja mereka di kementerian dan jabatan mereka. Hanya menonton siaran langsung perbahasan Parlimen dan masuk ke mesyuarat Zoom untuk memberi taklimat kepada menteri-menteri mengenai isu-isu yang ditimbulkan oleh MP sewaktu perbahasan. Dokumen-dokumen berkaitan boleh dikongsi dalam talian.

Apakah ini sesuatu yang baru dalam kerajaan kita? Tidak.

Mesyuarat-mesyuarat Kabinet sudah dilangsungkan dalam talian untuk beberapa bulan. Menteri-menteri tidak lagi berkumpul di Pejabat PM setiap pagi Rabu. Mereka hanya perlu membuka skrin untuk hadir. Kertas-kertas Kabinet juga dikongsi melalui platform digital.

Mesyuarat dwi-mingguan Majlis Tindakan Ekonomi dan mesyuarat-mesyuarat lain membabitkan pegawai-pegawai kanan kerajaan juga sudah dilangsungkan dalam talian.

Malah temujanji-temujanji juga boleh dibuat dalam talian — melalui persidangan video. Ini adalah normal baru.

Jadi, apakah Parlimen hibrid adalah jalannya?

Saya akan katakan, ya.

Saya percaya, ia bukan hanya menjadi satu langkah sementara untuk menangani isu penjarakan fizikal sewaktu pandemik. Ia perlu berkembang menjadi satu ciri tetap sistem Parlimen kita.

Tambahan pula, idea pembuat undang-undang tidak hadir secara fizikal di Parlimen bukan sesuatu yang baru. Grossman membayangkan idea ini dalam konteks politik Amerika lebih 20 tahun dahulu.

Kita sepatutnya telah melaksanakannya lebih awal. Tetapi ia memerlukan pandemik yang meragut nyawa untuk mengubah cara kita berfikir.


Datuk Dr Marzuki Mohamad adalah Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri dan seorang Profesor Madya di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *