Sidang Khas pinda umur calon DUN Johor

 Sidang Khas pinda umur calon DUN Johor

Hasni Mohammad (dua dari kiri) berbual dengan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga ADUN Gambir (kanan) semasa menghadiri Persidangan DUN Johor, hari ini.

KOTA ISKANDAR –  Johor akan mengadakan satu sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam masa terdekat untuk meminda Fasal 16 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 bagi Dewan Undangan Negeri selaras dengan Pindaan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur minimum calon DUN daripada 21 tahun ke 18 tahun.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan merupakan peruntukan-peruntukan perlu dalam Undang-Undang Tubuh Negeri.

Menurutnya, jika kerajaan Persekutuan meminda peruntukan-peruntukan perlu, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan pindaan tersebut dipatuhi.

“Justeru, amat wajar bagi maksud mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan untuk keseragaman syarat kelayakan menjadi calon bagi kerusi Parlimen dan kerusi DUN, pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri untuk menurunkan umur minimum calon daripada 21 tahun ke 18 tahun dilaksanakan.

“Untuk tujuan itu, satu sidang khas Dewan Negeri Johor akan diadakan seberapa segera bagi meminda Fasal 16 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 bagi Dewan Undangan Negeri selaras dengan Pindaan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sesi penggulungan pada Persidangan DUN Johor Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Menteri  Besar berkata, kerajaan negeri diminta untuk mengambil tindakan berkenaan pelaksanaan umur minimum calon 18 tahun bagi kerusi Dewan Undangan Negeri selaras dengan pindaan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan menerusi Akta Perlembagaan(Pindaan) 2019 [Akta A1603].

Katanya, Duli Yang Maha Mulia Yang Diçertuan Agong pada 4 September 2019 telah memperkenan pindaan yang melibatkan Perkara 47, Perkara 119 dan Jadual kelapan Perlembagaan Persekutuan dan diwartakan sebagai Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 [Akta A1603] pada 10 September 2019 dan mula dikuatkuasakan pada 11 September 2019.

“Akta A1603 ini telah menguatkuasakan Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan, iaitu mengenai umur minimum calon Dewan Rakyat kepada 18 tahun. Akta A1603 juga telah menguatkuasakan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan, iaitu berhubung peruntukan yang hendaklah dimasukkan ke dalam Undang-Undang Tubuh Negeri berkaitan kelayakan Ahli Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun.

“Oleh itu, sekiranya terdapat sesuatu pilihan raya yang melibatkan kerusi Dewan Rakyat, maka calon yang telah mencapai umur kelayakan 18 tahun boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya berkenaan. Walau bagaimanapun sekiranya sesuatu pilihan raya itu melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri, maka calon yang berumur 18 tahun masih belum boleh bertanding sehingga pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri dipinda dan dikuatkuasakan,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  60  =  64