Netizen mahu siar ‘live’ suntikan vaksin anak KJ

 Netizen mahu siar ‘live’ suntikan vaksin anak KJ

Oleh Fhatihah Zakinan

KUALA LUMPUR, 11 Jan 2022 – Ramai ibu bapa mahu kerajaan mengadakan sesi penerimaan suntikan pertama vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech terhadap anak kecil kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, disiar secara langsung menerusi pelbagai platform media.

Bukan itu sahaja, rata-rata mereka mahu semua anak Menteri dan wakil rakyat kerajaan berusia 12 tahun dan ke bawah melakukan perkara sama bagi meyakinkan rakyat mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara menyeluruh di semua peringkat.

Tangkap layar komen netizen

Tinjauan Wacana.my mendapati, segelintir ibu bapa masih ragu untuk mengizinkan anak-anak mereka yang masih kecil dan sihat menerima suntikan terbabit, kerana bimbang menjadi bahan uji kaji makmal sehingga mendapat kesan negatif seperti cacat, radang dan meragut nyawa yang dikasihi.

Justeru, mereka mahu sesi suntikan pertama terhadap anak golongan menteri dan wakil rakyat kerajaan disiarkan secara langsung dan berkongsi pengalaman mereka secara profesional.

Pendapat mereka itu disuarakan susulan seorang pelakon dan pengacara, Catriona Ross berkongsi pengumuman infografik memaparkan imej Khairy berjudul Kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun bakal terima vaksin jenis Pfizer, jangka pemberian di sekolah, menerusi hantaran Instatory miliknya, baru-baru ini.

Catriona atau nama sebenarnya, Catriona Norhayati Ross Bahrin Ross, 41, dalam Instastorynya itu menulis, “Mungkin rakyat Malaysia mahu melihat anak-anak anda divaksin di saluran tv nasional dulu”. (Maybe Malaysians now wanna see your kids vaccinated on national TV first).

Malah, tular satu hantaran sebelum ini memaparkan gambar mengandungi program kaji selidik keberkesanan vaksin Sinovac terhadap kanak-kanak berumur tiga hingga 11 tahun dengan penyertaan slot terhad kepada 200 orang.

Program dipercayai kendalian sebuah hospital universiti tempatan itu turut menawarkan kos vaksin, pemeriksaan kesihatan anak dan konsultasi pakar pediatrik secara percuma, selain pemantauan rapi dan kos pengangkutan sebanyak RM250 diberi kepada setiap anak yang berjaya melepasi saringan program itu.

Terdahulu, Khairy mengumumkan kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun bakal menerima vaksin Pfizer BioNTech tidak lama lagi selepas Kementerian Kesihatan mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Ubat-Ubatan (DCA).

“Kita masih mengadakan perbincangan dengan pihak PfizerBioNTech mengenai jadual penghantaran, kita akan mengumumkan nanti dalam masa terdekat,” katanya.

Sumber: Astro Awani, IG Catriona Ross, pengguna Facebook

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *