• Sunday, 20 June 2021, 12:09 pm

Siapa pemain skuad Harimau Malaya bukan persoalan – Jamal Nasir

 Siapa pemain skuad Harimau Malaya bukan persoalan – Jamal Nasir

DUBAI 03 JUN 2021. Pemain Malaysia, Muhamadou Sumareh kelihatan kecewa selepas pasukan Malaysia kalah 4-0 kepada UAE dalam pertemuan mereka untuk Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Zabeel. WMY/Adli Ghazali

KUANTAN, 9 Jun — Peminat bola sepak tempatan tidak seharusnya mempertikaikan tindakan jurulatih Tan Cheng Hoe yang membariskan 13 pemain pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam skuad Harimau Malaya yang beraksi pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Bekas pemain negara Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, siapa dan dari mana pemain pasukan kebangsaan tidak seharusnya menjadi persoalan yang perlu dipertikaikan oleh peminat bola sepak setiap kali penyertaan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Katanya, pemilihan pemain bergantung sepenuhnya daripada penilaian jawatankuasa diterajui jurulatih yang bertanggungjawab membentuk pasukan, semua pihak tidak seharusnya mempertikaikan keputusan berkenaan.

“Pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang kini sedang berlangsung di Dubai seramai 13 pemain pasukan JDT disenaraikan, ini membuktikan pasukan berkenaan memiliki keistimewaan tersendiri terutama kelibat pemain berkualiti.

“Peminat perlu akur dengan keputusan jurulatih (Cheng Hoe) yang memiliki perancangan terbaik untuk pasukan Harimau Malaya,” katanya kepada Wacana.my.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan peminat bola sepak tempatan yang seolah mempertikaikan tindakan Cheng Hoe menggunakan 13 pemain pasukan JDT di Dubai.

Jamal Nasir berkata, ketika kegemilangan pasukan negara dipentas antarabangsa hingga layak melangkah ke Sukan Olimpik Munich 1972, kebanyakan pemain negara terdiri daripada pemain pasukan Selangor.

“Pasukan Selangor ketika itu merupakan sebuah pasukan yang hebat dengan membariskan ramai pemain terbaik negara, hampir sama dengan JDT yang kini begitu gah dipersada bola sepak tempatan.

“Justeru tidak mustahil pada saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kali ini menjadi kelebihan kepada pemain pasukan JDT untuk diberi tanggungjawab membawa cabaran skuad Harimau Malaya.

“Saya berpendapat itu suatu penghargaan buat pasukan JDT dan peminat bola sepak tidak harus mempertikaikannya selagi pemain terbabit dapat memberi sumbangan bermakna kepada skuad negara,” katanya.

Mengenai peluang skuad Harimau Malaya pada perlawanan seterusnya selepas ini, Jamal Nasir berkata peluang mencatat kemenangan tetap masih terbuka sekiranya pemain turun dengan misi kemenangan, beberapa kelemahan perlu diperbaiki.

Selepas memulakan saingan dengan kekalahan di tangan UAE, skuad negara akan meneruskan kempen kelayakan bertemu Vietnam dan Thailand pada 11 dan 15 Jun ini bagi memburu dua kedudukan teratas Kumpulan G untuk mara secara automatik ke Piala Asia dan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia.

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *