Shikin Shelter memerlukan dana bantu haiwan

 Shikin Shelter memerlukan dana bantu haiwan

Oleh Iqhram Ahmad

ALOR GAJAH, 28 Feb: Diajar sejak kecil oleh arwah bapanya, supaya menyayangi dan membantu haiwan yang memerlukan menjadi titik tolak Norashikin Ahmad, 28, untuk bergiat melindungi haiwan.

Simpati dan prihati terhadap haiwan terabai, teraniaya atau terlantar turut mendorong beliau mengambil tanggungjawab bagi mengurangkan kesakitan dan penderitaan haiwan serta memastikan makhluk Tuhan itu dapat menikmati kehidupan lebih baik.

“Atas rasa dan sikap perikemanusiaan serta kasihan kepada makhluk ciptaan-Nya, arwah ayah memang sentiasa berpesan dan didik kami sejak kecil untuk membantu sesiapa yang memerlukan, tidak kira haiwan atau manusia.

“Saya nak berikan duit atau belanja makan ayah tapi ayah sudah tiada. Jadi dengan melakukan kerja amal dan doa sahaja cara untuk kami membalas jasanya” katanya kepada Wacana.my.

Keazaman itu turut mendorong Norashikin menubuhkan Shikin Shelter atau Shikin Team Animal Rescue (STAR), bagi membantu haiwan yang ditinggalkan pemilik atau haiwan yang mengalami sebarang kecederaan dan rawatan termasuk pembedahan.

“Sejak ditubuhkan pada 2014, STAR telah membantu serta menyelamatkan lebih 1,000 ekor haiwan yang merangkumi haiwan jalanan, domestik, perliharaan serta haiwan liar di seluruh negara.

“Pasukan ini beroperasi di seluruh Semenanjung dan mempunyai lebih 30 ahli dengan pelbagai latar belakang seperti askar, doktor serta jurutera,” katanya.

Tambah beliau, setiap ahli akan diberikan tunjuk ajar serta latihan mengenai cara-cara menangani masalah yang dihadapi haiwan berkenaan.

Katanya, semua haiwan yang diselamatkan akan ditempatkan premis persendirian milik keluarganya dan turut mempunyai sangkar bagi menempatkan haiwan seperti burung, monyet, kuda, kambing dan anjing.

“Sepanjang tujuh tahun ditubuhkan, STAR telah menyelamatkan lebih 400 ekor anjing dan kucing. Daripada bilangan itu, lebih 100 ekor berjaya ditemukan dengan keluarga angkat melalui program adoption dan platform Pet Finder. Kini, terdapat 80 ekor kucing dan 50 ekor anjing berada dalam jagaan kami,” katanya.

Walaupun melakukan kerja amal ini sesuatu yang mulia dan patut dicontohi orang ramai, ianya memerlukan pembiayaan yang tinggi.

Shikin (belakang, tengah) bersama rakan-rakan pencinta haiwan

Justeru, Norashikin memberitahu kerja beliau memerlukan bantuan dana orang ramai bagi menampung kos pembelanjaan STAR serta kos rawatan dan ubat-ubatan.

Dianggarkan, STAR menanggung bil perubatan dengan klinik haiwan yang mencecah RM10,000 hingga RM15,000 setahun. Selain itu, lebih RM10,000 sebulan diperlukan bagi membiayai gaji pekerja, bil utiliti, kos ubat-ubatan dan rawatan.

“Ada ketikanya kami akan berhutang dengan klinik haiwan atau menggunakan duit sendiri untuk membayar kos rawatan dan ubat. Dengan dana yang diberi, ia akan meringankan beban kami serta akan digunakan untuk merawat haiwan yang mengalami kecederaan serius,” katanya.

Beliau berkata, dana yang disumbangkan juga akan digunakan bagi membaik pulih kemudahan seperti sangkar di STAR bagi ini membuka ruang bagi bilangan haiwan yang boleh diselamatkan kelak.

Untuk menyumbang, sila salurkan dana ke Norashikin Ahmad (MBB : 154044903353 atau CIMB : 7014971183, Reference : Infak) atau hubungi shikin.shelter@gmail.com untuk maklumat lanjut.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  5  =  9